Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei (dua, kiri) bersama Pengerusi Kumpool, Goh Chun Hean (tiga, kiri) selepas sidang media kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat disaran guna khidmat Kumpool, permudah urusan penduduk setempat

PETALING JAYA, 9 MEI: Wakil rakyat di negeri ini dipelawa bekerjasama menyediakan perkhidmatan e-panggilan van melalui aplikasi Kumpool Ride di kawasan masing-masing.

Pengerusi Kumpool Goh Chun Hean berkata setakat ini hanya tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah berbuat demikian iaitu Subang Jaya, Bukit Gasing dan terbaharu Kampung Tunku.

“Buat masa ini, permintaan terhadap perkhidmatan ini amat menggalakkan iaitu masing-masing 300 dan 200 pelanggan di Subang Jaya dan Bukit Gasing.

“Kebanyakan pelanggan adalah warga emas dan pelajar. Kita berharap sambutan di Kampung Tunku lebih baik dan orang ramai memang digalak menggunakannya kerana mereka perlu membayar RM1 sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Kumpool DUN Kampung Tunku oleh Ahli Dewan Negerinya Lim Yi Wei di sini hari ini.

Malah, katanya, orang ramai boleh membuat tempahan awal bagi setiap perjalanan menerusi aplikasi Kumpool.

“Mereka boleh membuat tempahan untuk perjalanan bagi keesokan hari dan bayaran juga boleh dibuat sama ada secara tunai atau Kumpool wallet.

“Untuk mengetahui destinasi atau laluan Kumpool, pelanggan boleh layari laman sesawang http://kumpool.com.my/index.php,” katanya.

Kumpool Ride diperkenal bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir dengan kadar RM1 untuk akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 8 malam.

Perkhidmatan itu meliputi lebih 200 hentian antaranya stesen bas, LRT selain kawasan perumahan yang padat dan ia boleh dimuat turun di Apple Store atau Google PlayStore.


Pengarang :