Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

1,000 ekor ayam dijual di jelajah bantuan rakyat di Morib Sabtu ini

SHAH ALAM, 22 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjual 1,000 ekor ayam di Jualan Prihatin sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pengunjung boleh membeli ayam segar itu pada harga RM15 seekor yang masih murah berbanding pasaran.

“Selain ayam, kita turut bawakan keperluan asas lain seperti 300 papan telur ayam, daging segar (100 kilogram) dan ikan (50kg), beras, minyak masak dan sayur.

“Kita mengalu-alukan penduduk berhampiran singgah dan membeli-belah di gerai Jualan Prihatin PKPS Sabtu nanti dan dapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga murah,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas sama ada PKPS akan melaksanakan Jualan Prihatin Mega sempena perayaan Aidiladha, Dr Mohamad Khairil berkata cadangan tersebut masih dalam perbincangan.

“Kita cadang akan anjurkan jualan mega sempena Raya Aidiladha nanti dengan kuantiti barangan lebih banyak…lokasi kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Program Intervensi Ehsan berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga sejak dilaksana Disember lalu di lebih 50 lokasi di negeri ini.

Inisiatif berkonsepkan Jualan Prihatin Rakyat bertujuan meringankan beban dan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan bekalan makanan segar seperti ayam, ikan, daging, telur serta sayur-sayuran secukupnya.

Selain itu, jumlah ayam untuk jualan murah turut ditingkatkan daripada 10,000 kepada 20,000 ekor sehari bermula Mei susulan permintaan tinggi di Selangor.


Pengarang :