Sebahagian peserta dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang terbabit dalam kursus penyediaan makanan halal pada 12 Jun 2022. Foto Zawawi Mughni
EXCOSELANGOR

200 peniaga sertai kursus penyediaan makanan halal

SHAH ALAM, 14 JUN: Seramai 200 peniaga sudah menyertai kursus penyediaan makanan halal sejak 21 Mei lalu, kata EXCO Industri Halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kursus bimbingan itu adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri menerusi pejabat EXCO Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor serta Yayasan Al-Mogni Malaysia.

Ia bertujuan memberi pendedahan dan bimbingan makanan halal kepada peniaga dan rakyat di negeri ini.

“Matlamat utama adalah memberi pendedahan dan bimbingan pendidikan mengenai kepentingan penyediaan makanan halal selain memperkasakan penyebaran ilmu serta kefahaman mengenai urusan halal dan haram dalam Islam.

“Selain itu program ini juga dilaksana dengan suasana serba konduktif dan mampu meningkatkan kefahaman mengenai industri halal khususnya di Selangor,” katanya kepada Selangorkini.

Mohd Zawawi berkata setakat ini tujuh daripada 10 siri program sudah diadakan di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Sungai Kandis, Pandan Indah, Meru, Morib, Pelabuhan Klang, Taman Medan dan Sungai Tua.

“Seramai 200 peserta telah terlibat sepanjang tujuh siri ini dan kita jangka jumlah itu mencecah 300 orang selepas selesai kesemua 10 siri.

“Tiga lagi DUN adalah Bukit Melawati pada 18 Jun, Taman Templer keesokannya dan Kajang pada 20 Jun ini,” katanya.


Pengarang :