Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama tetamu ketika mengunjungi Pavilion Selangor PBAKL Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar cadang tambah dana perpustakaan, tubuh yayasan karyawan

SHAH ALAM, 12 JUN: Dana kepada perpustakaan di negara ini perlu ditambah bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berpendapat kerajaan perlu menubuhkan yayasan karyawan dalam membantu pengkarya terutama sasterawan negara.

“Ini yang perlu dibuat apabila bercakap tentang masyarakat madani, ia hanya mungkin berlaku melalui pemerkasaan ekonomi dan budaya.

“Ini agak sesuatu yang tempang dalam sistem negara kita yang mana pimpinan tidak mengerti maksud madani dan maksud mengangkat bangsa melalui penguasaan ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pavilion Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 dekat Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Lawatan turut disertai isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan diiringi Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

Anwar yang juga Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam turut meluncurkan buku kombo merdeka 65 tahun tulisan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Naskhah setebal 1,120 halaman tulisan tokoh istimewa dalam bidang sastera itu menggabungkan tiga novel beliau bertajuk Salina, Langit Petang dan Hujan Pagi dijual pada harga RM128.

Pavilion Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula 10 pagi hingga 10 malam.


Pengarang :