Nur Amalina Syam Tabri antara 20 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang menerima skim pembiayaan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib pada 25 Jun 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dana Hijrah bantu penternak lembu wanita, tidak kisah bergelumang najis

KUALA LANGAT, 27 JUN: Status sebagai wanita tidak menghalang Nur Amalina Syam Tabri bergelumang dengan najis lembu dan kambing untuk mengurus ternakan yang menjadi sumber pendapatan sejak lima tahun lalu.

Sebaliknya, wanita berusia 27 tahun itu seronok melakukan aktiviti tersebut bersama suami Muhammad Asyraf Mohd Azman, 28, di Kampung Endah, Banting di sini tanpa menghiraukan tanggapan orang awam terhadap dirinya.

Tambahan pula, katanya, ternakan yang diusahakan atas tanah seluas dua ekar milik keluarganya semakin berkembang selepas mendapat suntikan dana daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Memang rutin harian saya bantu suami di kandang termasuk memberi makan dan membersihkan najis lembu. Saya tidak kisah apa orang mahu cakap kerana yang penting saya boleh buat kerja itu.

“Kadang-kadang kalau suami sibuk dengan tugas lain di luar, saya sendiri yang akan mengurus haiwan berkenaan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Terdahulu, beliau antara 20 usahawan Hijrah di daerah ini yang menerima skim pembiayaan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib dekat sini pada kelmarin.

Dalam pada itu, ibu dua anak mengakui Hijrah banyak membantu mereka dengan menawarkan modal berjumlah RM10,000 sebagai permulaan, sebelum ditingkatkan kepada RM20,000 beberapa tahun kemudian.

“Alhamdulillah, hari ini (kelmarin) kami menerima pinjaman kali ketiga RM30,000 dan tidak sangka urusan permohonan sangat mudah serta cepat kerana mungkin bayaran balik pinjaman sedia ada dibuat secara konsisten kepada pihak berkenaan.

“Kami memerlukan modal ini untuk besarkan perniagaan seperti membeli makanan haiwan, membaik pulih kandang sedia ada serta menambah 40 ekor lembu dan 30 ekor kambing.

“Terima kasih kepada Hijrah kerana sentiasa memudahkan permohonan pembiayaan, jika ada rezeki kami mahu majukan lagi perniagaan ini ke seluruh Selangor,” katanya.

Bercerita lanjut, Nur Amalina berkata haiwan ternakan itu turut dijual kepada orang ramai, malah permintaan sangat tinggi menjelang Hari Raya Aidiladha bagi tujuan korban.

“Seperti tahun-tahun terdahulu, kira-kira 100 ekor lembu dan kambing terjual sempena Aidiladha. Untuk tahun ini, permintaan sangat menggalakkan apabila ramai yang sudah membuat tempahan,” katanya.


Pengarang :