Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman bermula 26 Julai hingga 1 Julai.
AGENDANASIONAL

Enam saintis muda diiktiraf, wakili negara di Mesyuarat Nobel Laureate ke-71

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman bermula hari ini hingga 1 Julai.

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail berkata mereka ialah Dr Enis Nadia Md. Yusof, Dr Goh Choon Fu, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman dan Dr Oh Wen Da kesemuanya daripada Universiti Sains Malaysia.

Saintis lain ialah Dr Sazlinda Kamaruzaman (Universiti Putra Malaysia) dan Dr Low May Lee daripada International Medical University Malaysia (IMU).

“Kesemua mereka akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia pada mesyuarat yang kini dilaksanakan secara fizikal selepas 2021 yang dilakukan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia menerusi ASM menghantar 81 saintis muda untuk mengambil bahagian pada mesyuarat itu sejak 2004.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan adalah satu platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.

“Selain dapat bertemu dengan penerima Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini memperkenalkan penyelidikan saintis muda kita kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia,” katanya.

Mesyuarat Nobel ke-71 tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia.

Dianggarkan sejumlah 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertai mesyuarat itu dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

Pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel itu dibuka kepada semua saintis muda institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan oleh ASM iaitu agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

— BERNAMA

 


Pengarang :