EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bergambar bersama kakitangan PLATS sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Datran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Latihan pembangunan digital penjaja kecil bermula suku ketiga tahun ini

KUALA LANGAT, 26 JUN: Platform Selangor (PLATS) akan memulakan latihan pembangunan digital kepada penjaja di seluruh negeri pada suku ketiga tahun ini.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Alina Idris berkata program itu membabitkan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan.

“Dengan penggunaan dan permintaan PLATS yang tinggi, maka kita akan meneruskan aktiviti penjenamaan dan penaiktarafan platform ini.

“Duta Rakan Digital Selangor (RDS) akan menjejaki penjaja dan peruncit kecil untuk mendigitalisasikan mereka dengan mendaftarkan dalam direktori PLATS bagi meningkatkan penjualan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan pelekat PLATS kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Alina berkata seramai 10,119 peniaga mendaftar dalam PLATS sehingga akhir Mei lalu dengan 139 daripadanya dari Kuala Langat.

“Kita akan meneruskan kempen bagi mengajak peniaga mendaftarkan diri dalam direktori PLATS melalui laman sesawang www.platselangor.com.my,” katanya.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April yang turut melibatkan kerjasama RDS.


Pengarang :