EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (tengah) mencanting dan mewarna batik Selangor bermotifkan bunga tanjung di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Bunga tanjung dipilih identiti batik negeri

SHAH ALAM, 2 JUN : Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghasilkan 12 meter batik negeri bermotifkan bunga tanjung.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata seramai 30 pelajar UiTM menyertai bengkel sehari mencanting dan mewarna batik yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

“Hasil kerja tangan pelajar ini akan dipamerkan dalam tempoh terdekat. Tujuannya untuk memperkenalkan bunga tanjung sebagai bunga rasmi negeri kepada masyarakat awam.

“Ia juga untuk memberi pendedahan kepada semua lapisan masyarakat dalam bidang pembuatan batik di samping mengeratkan kerjasama antara PADAT, institusi pengajian dan jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan bengkel sehari mencanting dan mewarna Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung di Muzium Sultan Alam Shah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya PADAT sedang berusaha menjadikan bunga tanjung sebagai lambang identiti setiap rekaan rasmi antaranya pakaian batik, produk seni reka hiasan dalaman dan cenderamata korporat.

 


Pengarang :