Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencanting dan mewarna batik Selangor bermotifkan Bunga Tanjung di Lobi Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Batik bunga tanjung jadi pakaian EXCO, persembah kepada Sultan untuk perkenan

SHAH ALAM, 2 JUN: Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung bakal digunakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), wakil rakyat dan penjawat awam dalam acara rasmi negeri.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata cadangan itu akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk mendapat perkenan.

“Kita cadang bawa kertas dan persembahkan kepada DYMM Sultan bagi mendapat perkenan Baginda kemudian dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor untuk pewartaan sekali gus dijadikan pakaian rasmi negeri,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Sehari Mencanting dan Mewarna Batik Selangor Motif Bunga Tanjung di Muzium Sultan Alam Shah di sini hari ini.

Borhan turut bercadang untuk memasarkan Batik Selangor itu supaya ia lebih dikenali dan dapat dipakai oleh semua golongan lapisan masyarakat pada masa akan datang.

“Insya-Allah batik bermotifkan bunga tanjung ini akan dipasarkan di kiosk-kiosk muzium sekitar Selangor untuk dibeli oleh pelancong dalam atau luar negara sama ada dijadikan sebagai cenderahati atau dipakai sendiri,” katanya.

Selain Batik Selangor, Borhan turut menggalakkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan Negeri menjadikan nasi ambeng sebagai sajian utama dalam majlis rasmi.

“Kita minta dan galak supaya semua PBT dan agensi Kerajaan Negeri menjadikan nasi ambeng sebagai hidangan utama dalam setiap majlis supaya ia dapat dipromosi sebagai makanan rasmi atau identiti Selangor,” katanya.


Pengarang :