Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai pameran Media Selangor ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Genap empat tahun dilantik MB, Amirudin anggap tempoh mencabar dibantu pasukan

HULU LANGAT, 19 JUN: Genap empat tahun dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menganggap ia adalah satu tempoh yang mencabar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu berkata dalam tempoh itu beliau berdepan dengan pelbagai cabaran luar jangka seperti banjir, Covid-19 dan kesan yang berlaku selepas pandemik itu dan langkah Sheraton.

“Ia adalah empat tahun yang cukup mencabar melalui peristiwa yang tidak dijangka… alhamdulilah saya ada pasukan yang seimbang dan padu untuk kita berdepan secara bersama.

“Hari ini kita dapat teruskan kepimpinan dan insya-Allah ia akan sampai ke akhir penggal dan kita akan sedaya upaya teruskan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin untuk negeri,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya cabaran dalam tempoh empat tahun menjadi Menteri Besar Selangor pada Jelajah Selangor Penyayang yang diadakan di Taman Kosas, Ampang di sini.

Amirudin dalam pada itu berterima kasih atas kepercayaan rakyat dan pasukannya dalam tempoh empat tahun memimpin Selangor.

“Terima kasih atas kepercayaan semua. Kerjasama rakyat dan pasukan saya dalam kalangan EXCO, penjawat awam negeri, anak-anak syarikat kerajaan negeri yang sentiasa bekerja sebagai satu pasukan.

“Kita mendepani bukan satu cabaran tapi tiga empat cabaran besar seperti Covid-19, kesan ekonomi, banjir. Kita lalui dengan cekal dan penuh rendah diri, ia bukan saya sahaja tetapi pasukan saya,” katanya.

Hari ini pada empat tahun yang lalu iaitu pada 19 Jun 2018, Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :