Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) disertai isteri Datin Seri Masdiana Mohamad diberi penerangan oleh petugas Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) ketika program Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rizab negeri kekal kukuh walau belanja RM600 juta bantu rakyat

HULU LANGAT, 19 JUN: Rizab Selangor masih berada pada tahap yang selesa iaitu lebih RM3 bilion walaupun Kerajaan Negeri membelanjakan pelbagai inisiatif untuk menbantu rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata prestasi itu sama seperti kepimpinan Menteri Besar sebelum-sebelum ini walaupun Selangor berdepan dengan pelbagai krisis seperti Covid-19 dan banjir besar.

“Kita membelanjakan RM600 juta setahun dan alhamdulilah lebih banyak kita berikan semakin banyak hasil yang diperoleh. Buktinya walaupun kita berdepan pandemik, Selangor masih mengutip cukai yang baik dan melebihi sasaran.

“Walaupun kita belanja tinggi, rizab negeri masih berada pada tahap yang selesa lebih daripada RM3 bilion sebagai mana pencapaian Menteri Besar sebelum-sebelum saya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Selangor Penyayang Kehidupan Bermartabat bagi daerah Hulu Langat diadakan di Taman Kosas, Ampang di sini.

Pada Belanjawan #Selangor2022 November tahun lalu, Amirudin berkata defisit belanjawan lebih RM200 juta tidak membebankan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata ini berikutan Selangor mempunyai rizab yang bertambah serta mengukuh dan boleh digunakan.

“Tahun lepas defisit lebih kurang RM100 juta lebih dan kali ini RM200 juta lebih, ia disumbang kerana sasaran pendapatan kita pada tahun depan kurang.

“Defisit ditambah tidak begitu bermasalah kerana kita mempunyai rizab yang bertambah dan mengukuh serta boleh digunakan ketika krisis. Saya rasa ini masa kerajaan berbelanja untuk memastikan pembangunan projek dapat dilaksana,” katanya.


Pengarang :