Peserta menghadiri temu duga program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 700 ditawar kerja, jelajah kerjaya berakhir di Sabak Bernam esok

SHAH ALAM, 24 JUN: Hampir 700 pencari kerja diterima bekerja menerusi Jelajah JobCare anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) sejak diadakan mulai 26 Februari lalu.

Ketua Penyelarasnya, S Vijayan berkata jelajah anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu mengatasi sasaran iaitu 500 individu.

“Maklum balas diterima amat menggalakkan dan mereka yang masih mencari kerja dipelawa untuk hadir ke jelajah esok di Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam,” katanya kepada SelangorKini.

Tambahnya, program bermula 9 pagi hingga 5 petang itu disertai 13 syarikat pelbagai sektor dari kawasan tersebut bagi memudahkan pencari kerja.

“Hampir 90 peratus daripada syarikat pertama kali menyertai jelajah antaranya Mewah Oils Sdn Bhd, Icon Hygiene Sdn Bhd dan ERL Maintenance Sdn Bhd,” katanya.

Jelajah kerjaya ini bermula di Dewan Hamzah, Klang pada 26 Februari lalu dan akan berakhir di Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam esok.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site


Pengarang :