Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Selangor Penyayang bantu anak muda kenali peranan agensi negeri

KUALA LANGAT, 27 JUN: Jelajah Selangor Penyayang memberi peluang kepada pengunjung khususnya anak muda mengenali lebih dekat peranan agensi negeri yang belum diketahui mereka.

Syah Hasbi Shahrin, 19, berkata kepelbagaian agensi dihimpunkan dalam program anjuran Kerajaan Negeri mendorong minatnya untuk hadir ke Dataran Pantai Morib kelmarin memandangkan ia tiada di tempat lain.

Syah Hasbi Shahrin

“Saya lihat ada Team Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Sebelum ini saya tidak tahu agensi berkenaan, jadi dengan adanya rerurai tersebut saya boleh tahu apa fungsi mereka sebenarnya.

“Kalau ke mana-mana program, saya memang tidak pernah nampak ada rerurai agensi tersebut dan ia hanya tersedia di sini,” kata pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Banting.

Sementara itu, C Thilakavathy, 35, memanfaatkan program berkenaan untuk menyemak status permohonan Rumah Selangorku yang dimohon sejak tiga bulan lepas.

C Thilakavathy

“Saya sudah hantar permohonan tetapi sampai sekarang belum terima sebarang maklum balas. Kebetulan ada program ini jadi saya hadir untuk berjumpa terus dengan pegawai bagi mengetahui status.

“Selepas mereka maklumkan berhubung status itu baru saya faham dan sekurang-kurangnya boleh ambil tindakan seterusnya,” katanya yang tinggal di Kampung Banting Baru.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Farhan Kasmuri, 31, berkata kehadirannya ke karnival itu bagi mengetahui insentif ditawarkan Selangor kepada rakyat terutama peniaga sepertinya.

Muhammad Farhan Kasmuri

“Rupa-rupanya Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyediakan banyak skim pinjaman kepada peniaga. Mungkin saya boleh buat permohonan selepas ini kerana saya mahu kembangkan lagi perniagaan.

“Sejujurnya sejak beralih ke bidang perniagaan, saya menggunakan modal sendiri untuk memasarkan produk pertanian di pasar malam. Melalui program ini, saya tahu dengan lebih jelas apa faedah yang disediakan kepada rakyat,” katanya.

Jelajah Selangor Penyayang dilancar pada 19 Jun di Taman Kosas Ampang sebelum diteruskan di Morib pada Sabtu lalu bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Program sama dijadual berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor, Sabtu ini diikuti Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 16 Julai dan Padang Awam Batu Caves Gombak pada 31 Julai.

Selain mengumpulkan anak syarikat Kerajaan Negeri, pelbagai acara lain disajikan khas kepada pengunjung antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.


Pengarang :