EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyerahkan sumbangan kepada 43 pelajar yang terlibat dalam kebakaran di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, Klang pada 21 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri, MBI bantu 43 pelajar mangsa kebakaran April lalu

KLANG, 21 JUN: Kerajaan Negeri menyerahkan bantuan kewangan kepada 43 pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih di sini susulan kebakaran pada April lalu.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan berjumlah RM8,600 itu adalah peruntukan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Setiap pelajar menerima bantuan wang tunai RM200 bagi menampung kos peralatan dan keperluan yang rosak atau musnah dalam kebakaran tempoh hari.

“Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban penerima di samping membantu mereka membeli keperluan pembelajaran,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program penyerahan sumbangan di SAM Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, di sini hari ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau keadaan asrama pelajar lelaki selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan kepada 43 pelajar yang terlibat dalam kebakaran di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, Klang pada 21 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Mohd Zawawi menasihatkan kepada pihak pengurusan institusi sama ada sekolah, masjid dan surau di negeri ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlaku sebarang musibah.

“Perhatian perlu diberikan kepada bangunan berusia lebih 20 tahun terutama aspek pendawaian elektrik untuk mengelak berlakunya litar pintas hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Mengulas sama ada Kerajaan Selangor akan membaik pulih kerosakan sekolah itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya sedang menunggu laporan forensik bomba.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor sedang menunggu laporan forensik daripada pihak bomba berhubung punca kebakaran dan kemudian selepas itu kerja baik pulih akan segera dilakukan,” katanya.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam pada 24 April lalu menyebabkan 70 peratus asrama pelajar lelaki setinggi tiga tingkat itu musnah.

Difahamkan, ketika kebakaran berlaku semua pelajar terbabit sedang menunaikan solat tarawih di surau.


Pengarang :