Struktur tambahan yang dibina tanpa kebenaran di Pangsapuri PKNS AU3, Ampang, Hulu Kelang. Foto MPAJ
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPAJ keluar 62 notis ubah suai, bina struktur tambahan tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 28 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 62 notis terhadap pemilik unit yang mengubah suai dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran di Pangsapuri PKNS AU3, Ampang, Hulu Kelang.

Pegawai perhubungan awamnya memaklumkan Notis 72(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) dikeluarkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguat kuasa hasil rondaan dan pemantauan pada 1 Jun lalu.

Norhayati Ahmad menjelaskan ubah suai dan tambahan struktur terbabit melanggar syarat hak milik bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta syarat tanah hak negeri.

“Notis tersebut susulan tindakan penguatkuasaan terhadap isu meroboh binaan struktur tambahan sebuah unit kawasan pangsapuri sama pada 25 Mei lalu.

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah penambahan struktur dinding kekal, sengkuap, pagar dan beranda di atas tanah kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua unit berkenaan perlu membuka struktur tambahan yang dibina dalam masa ditetapkan dengan kos ditanggung pemilik sepenuhnya sebelum tindakan lanjut diambil.

“MPAJ ingin menegaskan bahawa tindakan mengubah suai struktur sedia ada atau menambah struktur binaan di bahagian tepi dan belakang kediaman berstrata seperti flat, pangsapuri dan kondominium adalah satu kesalahan dan tidak dibenarkan,” katanya.


Pengarang :