Orang ramai mendaftar sebelum menjalani temuduga sempena program Selangor Mega Job Fair 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pelajar sertai Karnival Kerjaya Mega, cari tempat latihan industri

SHAH ALAM, 11 JUN: Pelajar Fakulti Sains Komputer Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencuba nasib mencari tempat latihan industri di Karnival Kerjaya Mega 2022 hari ini.

Syamsul Baharin Omar,23, berkata dia bersama dua rakan sekelas Salehuddin Azzizi,24, dan Muhammad Ammin Rozaini,23, masih belum mendapat tempat di mana-mana syarikat meskipun sudah membuat banyak permohonan.

Syamsul Baharin Omar, 23

“Semalam ada nampak iklan program ni. Kami sepakat datang sini untuk cari tempat latihan industri. Alhamdulillah.. rupanya banyak syarikat tawar tempat. Kami tinggalkan maklumat diri (resume) supaya mudah dihubungi,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu seorang warga emas Hamdan Hassan,65, yang menghantar anaknya memuji inisiatif Kerajaan Selangor dalam membantu masyarakat terutama pelajar yang baharu tamat pengajian mendapat pekerjaan.

“Masa perintah kawalan pergerakan, semua terjejas. Pelajar yang menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 sukar dapat kerja termasuk anak saya Irfan Kamil yang belajar di German-Malaysian Institute.

“Bila ada program ini, sekurang-kurangnya dia berpeluang mendapatkan kerja. Lagi pun banyak syarikat besar terlibat. Karnival ini patut diperluas supaya lebih ramai mendapat kerja,” katanya yang datang dari Gombak.

Hamdan Hassan, 65

Hari ini dan esok, Kerajaan Negeri menganjurkan Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan menawarkan lebih 20,000 peluang kerja.

Lebih 100 syarikat mengambil bahagian antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.


Pengarang :