Pada harga RM250,000, rakyat Selangor yang layak berpeluang memiliki kediaman selesa dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, pemanas air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peluang miliki 70,000 unit Rumah Idaman di jelajah bantuan rakyat esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Orang ramai berpeluang mendaftar Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sempena Jelajah Selangor Penyayang, esok.

MBI memaklumkan pendaftaran memiliki kediaman selesa pada harga mampu milik boleh dibuat di rerurai Pavilion MBI, Padang Taman Kosas, Ampang dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

“Inisiatif Rumah Idaman MBI merupakan usaha Kerajaan Negeri dan @mbiselangor yang komited dalam membantu menyediakan sebuah kediaman yang selesa dan kondusif.

“Penuhi impian anda untuk memiliki kediaman sendiri dengan mendaftar di Pavilion MBI di Jelajah Selangor Penyayang,” kata pemerbadanan itu di Facebook.

MBI turut memaklumkan lebih 70,000 unit rumah idaman akan dibina di lokasi strategik seperti Shah Alam, Bukit Jelutong, Puchong, Bandar Saujana Putra dan Sepang.

Selain MBI, jelajah yang membuka tirai di daerah Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :