HULU LANGAT, 19 JUN: Hampir 1,000 rumah telah diduduki menerusi Skim Smart Sewa sejak ia diperkenal pada 2015.
Dato’ Menteri Besar berkata jumlah itu dijangka meningkat kepada 4,000 dengan lebih ramai golongan berpendatan rendah dibantu dalam tempoh tiga tahun ini.
“Pada 2018 kita hanya ada sekitar 400 rumah termasuk rumah PPR (projek perumahan rakyat) yang kita sewakan dan kini kita ada hampir 1,000 rumah yang dibeli dan dimiliki.
“Dijangka dua, tiga tahun lagi kita akan dapat keseluruhan 4,000 rumah bagi melaksana program penyewaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Jelajah Selangor Penyayang Kehidupan Bermartabat bagi daerah Hulu Langat di Taman Kosas, Ampang di sini.
Amirudin berkata setakat ini respon dan bayaran sangat baik di mana 99 peratus penyewa melakukan bayaran balik.
“Istimewa skim ini 30 peratus bayaran sewa akan dipulangkan selepas tempoh lima tahun dan ini boleh membantu mereka yang berhasrat untuk membeli rumah menggunakan wang yang kita pulangkan itu,” katanya.
Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.