EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bergambar bersama penerima selepas penyampaian Dana Usahawan Mikro ketika Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

14 usahawan di Hulu Langat terima geran peralatan perniagaan

HULU LANGAT, 19 JUN: Seramai 14 usahawan menerima geran bantuan peralatan perniagaan melalui Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) bagi daerah Hulu Langat di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata sebanyak RM249,128 diperuntuk bagi menyediakan geran peralatan terbabit kepada penerima.

“Setiap penerima menerima bantuan peralatan maksimum RM30,000 bagi membantu meningkatkan produktiviti perniagaan mereka di samping meringankan beban.

“Saya berharap dengan bantuan ini semua usahawan dapat berniaga sebaiknya di samping membudayakan perniagaan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Penyerahan Plak Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) 2022 di padang Taman Kosas, Ampang di sini, hari ini.

Menurutnya, sejumlah RM2 juta sehingga RM2.5 juta diperuntuk untuk program DUMS sebagai bantuan peralatan kepada usahawan mikro di seluruh sembilan daerah di negeri ini.

Geran DUMS diperkenal bagi membantu peniaga kecil negeri ini meningkatkan hasil jualan.

Syarat kelayakan untuk memohon adalah seperti berikut :
– Rakyat Selangor/bermastautin lebih 10 tahun
– Perniagaan aktif sekurang-kurangnya lebih dua tahun
– Nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000
– Memiliki sekurang-kurangnya dua hingga lima pekerja
– Berusia 18-60 tahun
– Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
– Perniagaan sepenuh/separuh masa


Pengarang :