AGENDANASIONAL

SKMM: Waspada panggilan, SMS menyamar pegawai agensi kerajaan

PUTRAJAYA, 1 JUN: Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu atau nombor yang menyamar pegawai agensi kerajaan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan hari ini menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga antaranya memutuskan panggilan dan mengabaikan SMS tersebut dan jangan sesekali mengikut arahan pemanggil atau penghantar SMS.

“Jangan dedahkan maklumat peribadi anda kepada pemanggil atau penghantar SMS,” menurut kenyataan itu.

SKMM juga menasihati orang ramai supaya melaporkan panggilan dan SMS tersebut kepada pihak polis untuk tindakan dan kongsikan pengalaman dengan keluarga serta rakan sebagai usaha memberikan kewaspadaan supaya tidak menjadi mangsa.

Sekiranya sesiapa telah menjadi mangsa scam, individu terlibat dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada pihak polis atau merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1159 atau 03-2610 1599.

– BERNAMA


Pengarang :