Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Sultan, Tengku Permaisuri berkenan ziarah Makam Diraja Kota Melawati

SHAH ALAM, 1 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menziarahi Makam Diraja Kota Melawati, Bukit Melawati di Kuala Selangor dekat sini pada 30 Mei lalu.

Baginda turut diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir.

Selangor Royal Office menerusi Facebook memaklumkan sejarah kesultanan Melayu Selangor bermula di Kuala Selangor dan kebanyakan makam sultan terdahulu letaknya di daerah berkenaan.

“Kompleks ini menempatkan makam-makam Sultan-Sultan Selangor terdahulu antaranya Sultan Selangor pertama, Almarhum Sultan Salehuddin Shah (Raja Lumu) 1745 hingga 1778; Sultan Selangor kedua, Almarhum Sultan Ibrahim Shah (1778 hingga 1826) dan Sultan Selangor ketiga, Almarhum Sultan Muhammad Shah (1826 hingga 1857),” maklum kenyataan itu.

Sebelum berangkat ke Kuala Selangor, baginda turut berkenan menziarahi Makam Diraja Shah Alam di sini yang menempatkan makam bondanya, Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah.

Menurut kenyataan itu, semalam (31 Mei) merupakan ulang tahun ke-11 kemangkatan almarhumah yang mangkat pada 2011.

 


Pengarang :