BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Dusun Tua tumpu baiki prasarana, rancak pelancongan

Bergelumang dalam dunia politik lebih sedekad lalu memberi kelebihan kepada Edry Faizal Eddy Yusof untuk mentadbir Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

Antara isu utama yang diperjuang pemegang Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Kepujian) dari Universiti Multimedia ini ialah kesesakan lalu lintas dan banjir.

Kini, Ahli Dewan Negeri (ADN) itu giat merancang pembangunan pelancongan bagi menarik kehadiran pengunjung luar sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

Wartawan Zareef Muzammil menemu bual pemimpin berkenaan bagi mengupas lanjut matlamatnya dalam memastikan DUN Dusun Tua terus membangun.

Boleh YB ceritakan serba sedikit kerjaya sebelum menjadi wakil rakyat?

Saya bertugas sebagai penyelaras sekolah demokrasi di ibu pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) bermula 2012 dan penyampai di sebuah stesen radio perniagaan iaitu BFM pada 2016. Pada masa sama, saya memegang jawatan ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Tugas sebagai penyelaras sekolah demokrasi banyak mendedahkan saya kerja pengurusan. Kerjaya sebagai penyampai pula membuatkan saya lebih selesa bercakap depan kamera, manakala ahli majlis memberi ruang kepada saya memahami selok-belok pentadbiran kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi. Alhamdulillah, ketiga-tiga tugas berkenaan banyak membantu dengan tugas yang diamanahkan sekarang.

Bagaimana boleh masuk ke kancah politik?

Saya menceburi bidang politik secara rasmi pada 2012 yang mana ketika itu bukan sahaja bertugas dengan DAP Malaysia tetapi turut menyertai parti. Jadi itu boleh dikatakan titik pertama saya terlibat dalam politik. Cuma sebelum itu, saya pernah menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mana NGO itu bersifat politik.

Berapa jumlah pengundi di DUN Dusun Tua sekarang?

Selepas undi-18 diperkenal, bilangan pengundi meningkat kepada 70,000 dengan majoriti kaum Melayu diikuti Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain. Dengan pertambahan ini, sudah pasti saya tidak boleh bekerja sendiri sebaliknya menuntut kerjasama banyak pihak. Maka saya membentuk pasukan terdiri daripada ketua kampung, wakil belia, penduduk kampung dan kawan-kawan sendiri. Mereka menjadi ejen menyalurkan maklumat selain bertugas mengikut segmen dan juzuk. Kadangkala maklumat sampai daripada ketua kampung dan kawan-kawan, jadi ia memudahkan kita untuk menyelesaikan setiap permasalahan seterusnya mengelak situasi kelam-kabut.

Apa masalah paling ketara berlaku di Dusun Tua?

Dua masalah utama dikesan iaitu banjir dan kesesakan lalu lintas. Alhamdulillah, ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan persekutuan, peruntukan menaik taraf dan pelebaran jalan diluluskan pada 2019. Projek naik taraf jalan membabitkan tiga fasa. Fasa pertama bermula dari Simpang Batu 9 sehingga ke Kampung Melaka dengan kos RM150 juta. Dengan adanya projek itu, kesesakan tidak seteruk sebelum ini. Sekarang (fasa dua) dalam proses lantikan kontraktor dan pengambilan tanah manakala fasa tiga tidak sempat berbuat apa-apa kerana kerajaan bertukar. Jadi buat masa ini kita akan sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau lampu isyarat supaya berfungsi dengan baik selain memastikan kontraktor melaksanakan kerja dengan betul.

Bagi isu banjir pula, saya telah meminta agar projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) diteliti. Berdasarkan maklumat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), kos projek berkenaan tinggi dan kerajaan ketika itu tidak mahu meluluskan (peruntukan) secara pakej penuh. Terkini, projek itu dilakukan secara ‘rolling plan’ iaitu mengikut permohonan. Sebenarnya kaedah ini ada baik buruknya. Yang baik kita dapat sedikit daripada tiada langsung dan yang buruknya ia hanya diselesaikan secara runcit. Tetapi seeloknya dibuat secara menyeluruh berbanding runcitan sekiranya kita mahu keluar daripada masalah. Saya percaya melalui projek RTB akan memanfaatkan seluruh penduduk di sepanjang jajaran Sungai Langat memandangkan hampir separuh daripada penduduk Dusun Tua tinggal di jajaran berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat iaitu Bantuan Selangor Bangkit daripada kerajaan Selangor dan Bantuan Wang Ihsan (kerajaan Persekutuan). Foto Facebook Edry Faizal Eddy Yusof

Apa perkembangan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) (kini dikenali Iltizam Selangor Penyayang) di Dusun Tua? Berapa penerima manfaat? 

Secara kasar memang ramai penerima manfaat. Misalnya Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sudah ada lebih 5,000 berdaftar, Skim Peduli Sihat mencecah 1,500 dan hampir 1,000 memperoleh bantuan khas Anak Istimewa Selangor (AnIS). Jadi boleh bayangkan kalau di seluruh negeri angkanya sangat ramai. Penerimaan masyarakat sudah tentu mereka amat menghargai pemberian bantuan berkenaan lebih-lebih lagi SMUE kerana warga emas turut menerima baucar Jom Shopping bernilai RM100 setiap kali ulang tahun kelahiran. Ia nampak kecil tetapi sebenarnya memberi makna buat mereka. Malah saya melihat banyak program Kerajaan Negeri sentiasa cuba ditambah baik. Bukan hanya IPR tetapi turut merangkumi semua aspek seperti kesihatan, belia dan perniagaan. (Mengenai penjenamaan semula IPR), saya suka pada namanya, lebih kena dan bermakna kerana Kerajaan Selangor melakukan semua inisiatif ini kerana kita sayang warga Selangor. Ini iltizam kita kepada rakyat, kita bukan sekadar peduli tetapi kita sayang mereka.

Belanjawan Selangor memperuntuk dana kepada setiap wakil rakyat, bagaimana YB menggunakannya?

Setiap kali menerima peruntukan biasanya kita akan susun siap-siap. Awal tahun kita akan turun ke institusi-institusi seperti sekolah, surau dan masjid lebih-lebih lagi yang terjejas akibat banjir Disember tahun lepas. Kita tahu selepas bencana, pembinaan dan pembaikan memerlukan kos yang besar. Kita menekankan sekolah kerana inilah institusi untuk anak-anak dan masa depan mereka bermula dari situ. Sebab itu kita kasihan melihat sebahagian sekolah di luar bandar yang tiada peruntukan untuk tambah baik kemudahan. Kalau nak harapkan ibu bapa sumbang kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak cukup kerana kita faham orang luar bandar pun makan gaji harian. Selain itu, dana diperoleh juga disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan dalam masyarakat seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS) kerana mereka juga sebahagian daripada kita yang banyak membantu menyalurkan maklumat berkaitan masalah penduduk setempat. Kita juga memberi sumbangan kepada penduduk yang tampil sendiri ke pejabat pusat khidmat masyarakat (PKM) dengan masalah tertentu. Pada masa sama, kita juga menggunakan dana untuk menganjurkan aktiviti bersama masyarakat seperti gotong-royong dan tampal jalan berlubang.

Bagaimana perkembangan projek bank makanan yang dilaksanakan sejak 2020? Adakah masih diteruskan?

Masih berjalan. Sebenarnya bank makanan di ketiga-tiga cawangan meliputi Pinggiran Delima (cawangan utama), Kampung Padang Lubuk Kelubi dan Kompleks Penghulu mukim Batu 10 bukan dibuat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) sahaja memandangkan orang terdesak ada sepanjang masa. Cuma permintaan sekarang tidak sehebat PKP sebab masyarakat sudah ada ruang untuk keluar bekerja mencari pendapatan. Bank makanan ini mengumpulkan kotak makanan mengandungi minyak masak, bihun, tepung gandum dan beras yang dibiayai pejabat DUN selain sumbangan pihak luar. Saya gembira melihat ada pihak yang ingin turut serta dalam projek in, mereka mahu menjadi sebahagian daripada kita walaupun peruntukan kita cukup untuk membantu penduduk. Sehingga kini, lebih 10,000 penerima manfaat dalam tempoh dua tahun. Pada masa sama, kita menggerakkan pertanian kecil di situ dengan menanam sayur-sayuran seperti bayam, bendi dan betik, dulu kita ada bela ikan keli tetapi sekarang berhenti sekejap. Semua barang ini penduduk boleh ambil sendiri jika mahu, tidak semestinya pek makanan.

Dusun Tua antara kawasan yang turut terjejas banjir akhir tahun lalu, boleh kongsikan pengalaman mengurus insiden itu?

Memang diakui, skala bencana Disember tahun lepas jauh lebih besar kerana seingat saya paling teruk berlaku di Selangor pada 1971 dan menariknya ia membawa kepada Januari 1972. Sebaik banjir, kita sudah mengarahkan pegawai bersiap sedia di pusat bank makanan untuk masak dan diagih kepada penduduk terjejas. Pada malam tersebut, saya cuba masuk ke Pekan Batu 14 malangnya tidak lepas sebab kawasan terbabit sudah dinaiki air, jadi kita tidak boleh pergi ke tempat lebih jauh. Mana kawasan yang boleh masuk, kami masuk menggunakan sampan. Jadi peristiwa itu mengakibatkan kira-kira 3,000 keluarga terkesan, Sungai Lui paling teruk manakala di Nanding sahaja lebih kurang 1,560 keluarga terlibat. Boleh dikatakan hampir 80 peratus kawasan Dusun Tua menerima kesan, yang terselamat cuma Pangsun dan Kampung Padang.

Adakah keluarga terjejas sudah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Alhamdulillah, semua ketua isi rumah terjejas sudah memperoleh bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) kerajaan pusat. Kita antara yang terawal selesai agihan berbanding daerah lain. Malah kita sampai ke tahap membantu kerajaan pusat sebenarnya. Mungkin ramai tidak perasan agihan bantuan negeri dan pusat dilakukan serentak kerana data itu diperoleh daripada kita melalui pejabat daerah dan tanah (PTD). Mereka (kerajaan pusat) menumpang data PDT kerana dari awal lagi ketua kampung digerakkan untuk mendapatkan data penduduk secepat mungkin. Saya sangat menghargai ketangkasan Kerajan Negeri dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang sering menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat terkini, malah beliau turut bermalam di sini bergotong-royong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof meraikan Aidilfitri 2022 bersama pihak pengurusan dan anak-anak istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Nanding. Foto Facebok Edry Faizal Eddy Yusof

Sejak mentadbir kawasan, apa cabaran besar dihadapi? Apa pendekatan mengatasi kekangan itu?

Kadang-kadang orang kata kalau tidak tahan maki jangan jadi wakil rakyat sebab kadangkala makian itu ada betulnya dan saya terima, tetapi ada juga yang sesuka hati maki tanpa bersebab. Saya percaya kena ada hati dan jiwa besar serta terima makian itu. Paling penting kita kena didik bagi orang faham kerana jika tidak nanti bagaimana kita mahu betulkan yang biasa. Kita kena teruskan kuasa mendidik, jadi saya boleh katakan cabaran makian itu wajib. Cuma paling penting adalah bagaimana kita mahu beri kefahaman kepada masyarakat misalnya dengan menjelaskan peranan agensi yang ada. Isunya di sini, saya perlu menyelaras agensi dengan baik supaya permasalahan yang timbul dapat diselesaikan. Ia sememangnya mencabar kerana banyak agensi di Selangor. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman jadi ahli majlis ia banyak membantu saya untuk berlaku adil terhadap setiap agensi. Adalah tidak adil jika satu agensi sahaja yang dipersalahkan sedangkan tugas itu agensi lain.

Apa perancangan untuk memajukan DUN Dusun Tua?

Untuk perancangan jangka pendek, kita mahu selesaikan masalah infrastruktur demi menjamin keselesaan warga Dusun Tua, manakala tempoh panjang kita berhasrat meningkatkan pelancongan yang lebih lestari. Sebelum ini kita sempat mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk melakukan pemutihan bahagian pelancongan dan regulasi semula sektor ini supaya lebih tersusun serta teratur. Kerajaan Negeri membahagikan kluster setiap daerah dan Hulu Langat diletakkan sebagai kluster pendidikan manakala Utara Selangor kluster pelancongan, walhal di sini sebenarnya rancak juga pelancongan. Melalui perbincangan itu, timbalan yang dipertua MPKj sependapat bahawa kita perlu belajar dengan Kuala Langat yang mana daerah itu sudah memperkemas industri pelancongan. Kita sudah ada model itu dan patut melakukan model sama kerana kita mahu kawasan ini jadi pelancongan lestari. Apabila ada pelancongan, maka ramai orang datang sekali gus mengembangkan ekonomi setempat. Sebenarnya banyak kawasan berpotensi dimajukan pelancongan di sini bermula dari Batu 14. Kita memiliki banyak anak sungai, tapak perkhemahan, pusat mendaki dan air terjun. Kita percaya kalau sesiapa yang mahu cari tempat perkhemahan di Selangor, tujuh daripada terdapat di sini. Selain itu, kita merancang untuk mewujudkan pusat kenderaan serba rupa bumi (ATV), insya-Allah jika tiada aral melintang kita akan bawa cadangan ini secepat mungkin.

Pelbagai inisiatif dilaksana sejak dipilih sebagai wakil rakyat, sejauh mana YB melihat tahap sokongan penduduk?

Saya yakin warga Selangor bijak pandai, jadi kita yakin pada kebijaksanaan mereka selain meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT. Rakyat pasti memilih yang terbaik, tetapi kita menghormati apa jua pilihan rakyat. Kalau nak kata saya sangat yakin itu memang bohong. Kerusi ini adalah milik dan perbincangan parti, ramai sebenarnya fikir kerusi ini warisan keluarga. Sekiranya orang tanya adakah saya akan kekalkan kerusi tersebut, saya tidak boleh YA dan tidak boleh mengesahkan dengan mudah. Semua ini tertakluk perbincangan parti. Paling penting, saya sudah jalankan tugas sehabis baik. Dalam dunia ini jika kita fikir mahukan jawatan sampai mati kita akan terus buat benda pelik. Sebab itu ada yang jadi ‘badut’, ‘katak’ sebab dia pegang kerusi dengan hati. Jika pegang dengan tangan, jalankan amanah dan tanggungjawab, jika terlepas maka terlepaslah.

Apakah usaha YB menarik Undi-18?

Sebelum Undi-18 diperkenalkan, kita memang sentiasa berinteraksi dengan anak-anak muda, malah dengan pelajar sekolah pun. Selagi mana mereka tinggal di kawasan kita, kita kena dekat dengan mereka. Jadi tiada isu dengan Undi-18 baru kita mahu dekat dengan mereka. Kita melaksanakan program tuisyen sendiri untuk pelajar dan tidak pernah buat ini hanya kerana undi, sebaliknya atas dasar tanggungjawab dan amanah. Dalam masa terdekat, kita akan meneruskan program seperti biasa selain memperbanyakkan program khusus untuk belia berusia dari 19 hingga 25. Aktiviti ini cenderung kepada bagaimana membantu mereka menghadapi pelajaran dan bagi yang bukan pelajar, bagaimana kita boleh bantu mereka memulakan perniagaan dan pekerjaan.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu seperti Muda, Pejuang dan Perikatan Nasional (PN)?

Ia suatu fenomena baharu. Sekarang sudah tidak wujud satu lawan satu dan era tersebut sudah berakhir, paling minimum tiga kerusi. Setiap parti tanpa mengira gabungan apa, anda sudah tidak boleh selesa. Tidak kiralah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (HARAPAN) malah sudah ada blok ketiga. Dari sudut positif, kita melihat demokrasi dalam negara kian rancak yang mana menggesa semua pihak tidak selesa dengan kedudukan mereka. Kita tidak boleh main naratif ‘kalau kau tidak mahu dia, maka kau hanya ada aku’. Di sini mendorong semua orang bekerja keras. Kegagalan sesebuah kerajaan tidak bermakna yang melawannya itu mesti dapat undi. Dari sudut yang tidak berapa molek, berlaku perpecahan yang mana kalau ada 10 orang, lapan orang tidak suka A, tetapi tidak semestinya A mesti kalah kerana lapan yang suka B atau C berpecah. Seperkara lagi, anda dapat satu undi pun boleh menang. Maka ini menyebabkan orang yang tidak disukai boleh naik memandangkan pihak tidak suka itu tidak boleh bersepakat mahu suka siapa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof bersama Sukarelawan #Gerak23 melakukan aktiviti menampal lubang jalan raya kampung menghadapi masalah itu di DUN berkenaan. Foto Facebook Edry Faizal Eddy Yusof

Adakah kemunculan parti baharu itu akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap HARAPAN di Selangor?

Sudah tentu memberi kesan. Kita akan lihat semasa PRU-15, tetapi kita boleh lihat beberapa PRU sebelum ini banyak undi lari hanya kerana kesilapan sesetengah orang yang promosi supaya jangan undi A. Zaman-berzaman politik di Malaysia bersifat A vs B. ‘Kalau kau tak sokong dia sokonglah aku’. Sekarang tidak lagi, maka di sini semua kena muhasabah. Di Selangor pun pastinya kita kena muhasabah, maka kita kena memantapkan lagi kerja. Biarlah orang memilih kita kerana dia memang mahu memilih kita, bukan lagi memilih kita kerana dia membenci orang lain.


Pengarang :