Sukarelawan Selangor membersihkan kediaman salah seorang mangsa banjir di Baling, Kedah pada 7 Julai 2022. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air terhad cabaran bersihkan rumah mangsa bah di Baling

SHAH ALAM, 7 JULAI: Bekalan air bersih terhad untuk mencuci kawasan kediaman mangsa bah di Baling, Kedah antara cabaran didepani 263 sukarelawan Selangor.

Majlis Sukan Negeri Selangor memaklumkan cabaran lain termasuk jumlah sampah dan barang rosak yang banyak selain laluan sempit untuk pergerakan keluar masuk kenderaan.

“Tempat pembuangan sampah juga jauh menjangkau 45 minit masa perjalanan dan kami lewat menerima maklumat untuk mengenal pasti kawasan terjejas selain lokasi perumahan tidak terancang.

“Kami buat pembersihan selama dua hari dan bersedia melanjutkannya jika ada keperluan,” kata Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Generasi Mudanya Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar ketika dihubungi.

Beliau berkata seramai 263 anggota dari pelbagai agensi digerakkan dalam misi bantuan pascabanjir yang turut disertai EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman.

Jelasnya, lokasi pembersihan meliputi Kampung Sadek, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Jerai, Kampung Tanjung Kupang dan Kampung Seberang Jaya yang dijangka selesai esok.

Konvoi Misi Selangor Penyayang diketuai Setiausaha Bahagian Unit Pengurusan Bencana Selangor Mohd Ikram Rahimi berserta anggota pihak berkuasa tempatan dan Sukarelawan Selangor (SERVE).

Sebanyak 33 jentera dan 112 alatan dibawa bagi menjayakan operasi bantuan meliputi pacuan empat roda (4×4), van, lori Roll on Roll Off (RoRo) dan lori tipper.

Perkakas lain termasuk mesin pemotong pokok, tong air, pam air bertekanan tinggi, jengkaut dan lampu untuk membantu membersihkan kediaman penduduk dan membuka semula laluan.

EXCO Pemabngunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Sukarelawan Selangor membersihkan kediaman salah seorang mangsa banjir di Baling, Kedah pada 7 Julai 2022. Foto ihsan Sukarelawan Selangor

 


Pengarang :