EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bersama pempamer yang mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selhac bantu 100 pempamer tembusi pasaran pasar raya besar

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kira-kira 100 pempamer yang menyertai Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) Mac lalu berjaya menembusi pasaran beberapa pasar raya besar terkemuka.

EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata produk mereka juga sudah dipasarkan di rangkaian pasar raya dan dijual kepada pengguna.

“Perkara paling membanggakan selepas program ini adalah peserta mendapat kontrak Petronas bernilai RM2.3 juta untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara.

“Di Selangor, kita bantu memasarkan produk mikro yang dihasilkan rakyat menerusi pelbagai platform termasuk melalui penganjuran ekspo seperti Selhac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Ekonomi RS-1 sempena Simposium Prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

Simposium itu dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selain itu, Mohd Zawawi berkata, Malaysia perlu mengambil peluang menjadikan negara ini sebagai pemain utama dalam industri halal.

“Pelabuhan Rotterdam memilih Malaysia sebagai rujukan standard halal, sekali gus menjadikan negara ini rujukan seluruh dunia dan kita perlu mengambil peluang untuk menjadi pemain utama,” katanya.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan RS-1 memfokuskan empat tema utama merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus.

Katanya, tema itu akan menjadi panduan bagi menjayakan agenda Selangor untuk muncul sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.


Pengarang :