Kapten Terengganu FC Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) diasak pemain Selangor FC Yazan mousa Mahmoud Al-Arab (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Bola sepak: Liga Super 2023 disertai 18 pasukan, Liga Perdana dimansuh

PETALING JAYA, 20 JULAI: Saingan Liga Super musim depan sah disertai 18 pasukan dengan Liga Perdana akan dimansuhkan bagi tempoh tertentu.

Perkara itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hasil persetujuan Rakan Kongsi Liga menerusi Mesyuarat Luar Biasa (EGM) yang berlangsung hari ini, lapor portal Berita Harian.

Pelaksanaan penstrukturan semula Liga M itu menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja ketika ini, tidak termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Jumlah 34 perlawanan ini ternyata memenuhi saranan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hasil kaji selidik badan induk bola sepak itu yang dikongsikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini

Penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga M) itu turut menyaksikan Liga Simpanan diperkenalkan yang mana saingan berkenaan khusus untuk pemain bawah 23 tahun.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan percaya penstrukturan semula Liga Super meningkatkan aspek kualiti pertandingan, merapatkan jurang kumpulan usia dan jaminan minit permainan selain mengekalkan standard antarabangsa mengikut perubahan bola sepak moden.

Katanya, ia juga mampu menaikkan nilai komersial Liga M yang kini dinobatkan sebagai liga nombor satu Asia Tenggara.

“MFL sentiasa bergerak untuk memastikan Liga Malaysia berada di dalam peta bola sepak Asia di mana penstrukturan semula Liga Malaysia ini dilihat menjadi satu langkah positif kepada semua pihak yang berada dalam industri bola sepak negara.

“Kita melihat kepada tuntutan AFC yang sentiasa mahu ahli gabungan meningkatkan standard dan kita tidak mahu kelab-kelab Liga Malaysia ketinggalan dalam arus perkembangan bola sepak di rantau ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata pihaknya berterima kasih kepada FAM, AFC dan FIFA atas bantuan setiap laporan yang menjadi rujukan kepada MFL dan rakan liga antarabangsa yang membantu MFL sehingga kini.

“Kami berharap semua pihak berkepentingan terbuka kepada penstrukturan semula dan menyahut cabaran ini untuk mengembangkan bola sepak Malaysia ke arah tuntutan bola sepak moden,” katanya.


Pengarang :