Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Iltizam Selangor Sihat lindungi kesihatan 100,000 penduduk negeri

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Seramai 100,000 penduduk negeri ini dijangka menerima manfaat Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang diperkenalkan hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi skim berkenaan penerima bakal mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.

“Selain rawatan dan perubatan, Kerajaan Negeri turut menawarkan vaksinasi bagi memastikan lebih ramai rakyat Selangor mendapat perlindungan sebaiknya,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan ISS merupakan program perlindungan kesihatan rakyat yang ditambah baik menggantikan skim insurans sedia ada.

Ketika di Program Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor hari ini, Amirudin memaklumkan sekitar RM67 juta diperuntuk dalam kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kehidupan penduduk lebih membangun dan mampan.

Jumlah terbabit merangkumi penganjuran sembilan lagi program lain iaitu Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor dan Saring Selangor.

Turut terkandung Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.


Pengarang :