AGENDA JENAYAH

Empat wanita antara 22 individu ditahan terbabit rusuhan bersenjata

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Seramai 22 individu termasuk empat wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam dua kejadian rusuhan bersenjata di Sungai Way dan Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata 15 lelaki dan empat wanita ditahan, dalam kes rusuhan bersenjatakan kayu di Ara Damansara.

Katanya kesemua individu berusia 15 hingga 27 tahun ditahan di lokasi kejadian sejurus selepas pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu, kira-kira 9 pagi.

“Kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita. Sebatang kayu besbol yang disyaki digunakan oleh salah seorang suspek turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua daripada 19 individu yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Mohamad Fakhrudin berkata dalam kejadian di Sungai Way pula, seorang lelaki berusia 33 tahun cedera parah di belakang badan selepas disyaki ditetak empat lelaki yang dikenalinya.

Polis telah menerima laporan kejadian itu kira-kira 9.30 malam tadi dan menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 37 tahun di Sungai Way, dan di perkarangan sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur dalam serbuan antara 12.30 tengah malam tadi sehingga 2 pagi ini.

“Punca kejadian disebabkan dendam lama dan semakan mendapati dua daripada tiga suspek itu mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya kesemua 22 individu yang ditahan kerana terbabit dalam dua kes rusuhan bersenjata itu, ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :