Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jelajah Jualan Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak parkir Masjid Al-Bakri Kampung Bukit Naga, Shah Alam pada 18 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah skala kecil diteruskan, bantu jimat belanja harian

SHAH ALAM, 14 JULAI: Program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan diteruskan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lokaliti tertentu selepas ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata langkah berkenaan dapat meringankan beban belanja penduduk terutama ketika berdepan isu kenaikan barang.

“Inisiatif ini turut membolehkan pembeli mendapat barangan segar. PKPS akan mengenal pasti lokasi sesuai supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat.

“Program hanya berskala kecil. Untuk program jualan mega, kita akan lihat keperluan dan kesesuaian penganjurannya,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Sejak Disember tahun lalu, PKPS menjalankan program jualan murah barangan asas di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 perkilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 perpek) dan minyak masak.

Pada 19 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.

 


Pengarang :