AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri nilai segala risiko jika MBI lakukan pinjaman sukuk

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri akan menilai segala risiko yang bakal dihadapi sekiranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melakukan pinjaman sukuk.

Dato’ Menteri Besar berkata penilaian risiko itu merangkumi jumlah caj yang bakal ditanggung selain aset milik Kerajaan Negeri yang perlu dicagar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menambah MBI harus memberi keyakinan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam memastikan tindakan berkenaan tidak membebankan kerajaan terutamanya kehilangan aset.

“Sudah pasti kita membincangkan secara keseluruhan risiko yang bakal dihadapi termasuk caj atau mencagarkan aset kita kepada bank atau institusi kewangan.

“Sudah pasti untuk mendapatkan sukuk ia bergantung kepada penarafan yang diberikan bank terhadap institusi milik kita seperti anak syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia Hilman Idham mengenai risiko yang dihadapi Kerajaan Negeri sekiranya MBI melakukan pinjaman sukuk.

Terdahulu Amirudin berkata setakat ini pihaknya belum dimaklumkan oleh MBI sama ada melakukan pinjaman sukuk untuk dijadikan dana bagi projek berkapasiti tinggi.


Pengarang :