EXCO Pengangkutan Ng Sze Han menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Pelan induk pengangkutan awam, negeri cadang bina 12 laluan rel

SHAH ALAM, 28 JULAI : Kerajaan Negeri sudah menyiapkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Selangor bagi mengenal pasti 12 koridor yang sesuai untuk pengangkutan awam berasaskan rel.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata bagaimanapun pihaknya belum menerima maklum balas kerajaan pusat berhubung cadangan yang dikemukakan Selangor.

“Kita telah memberi cadangan dan mengemukakan pelan induk ini kepada kerajaan pusat iaitu kementerian pengangkutan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 tetapi masih belum jawapan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) dan Aliran Transit Ringan (LRT) di Bandar Baru Selayang.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Taman Templer Sany Hamzan berhubung pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) dan Aliran Transit Ringan (LRT) di Bandar Baru Selayang.

Menurutnya, Bandar Baru Selayang mempunyai kemudahan pengangkutan awam sedia ada melibatkan jaringan perkhidmatan MRT, LRT dan komuter yang dihubungkan melalui perkhidmatan bas ke stesen berkenaan.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, tiada permohonan kemudahan MRT, LRT atau komuter di Bandar Baru Selayang kerana penyediaan pengangkutan awam memerlukan kos yang sangat tinggi dan ia di bawah tanggungjawab kerajaan pusat,” katanya lagi.

Pada 26 April, Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya yakin Pelan Induk Pengangkutan yang menyasarkan penggunaan 60 peratus kenderaan awam dapat dicapai menjelang 2030, berbanding 20 peratus ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan beberapa inisiatif antaranya Bas Smart Selangor menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam selain pihaknya giat menyediakan kemudahan tertentu bagi menjadikan kenderaan awam sebagai pilihan.

 


Pengarang :