Kakitangan LUAS menghidu sampel air bagi mengesan pencemaran bau di Sungai Kabul, Hulu Langat pada 22 Julai 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

LUAS pantas tangani dua insiden cemar sungai, berjaya selamat operasi loji air

SHAH ALAM, 22 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menangani dua insiden pencemaran sungai minggu ini akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang berisiko menyebabkan henti tugas beberapa loji rawatan air (LRA).

Menerusi pemantauan 24 jam, agensi itu mengesan pencemaran bau seakan cat sebanyak 2 TON (ukuran kadar bau) di Sungai Kabul, Hulu Langat hari ini dan tompokan seakan minyak di Sungai Langat, Hulu Langat pada 19 Julai.

Bagaimanapun, setelah melalui beberapa tindakan pencegahan, kedua-dua insiden berkenaan berjaya ditangani segera.

“LUAS memantau rapi status kedua-dua inisden ini dan meneruskan pemantauan 24 jam tanpa henti bagi memastikan kelangsungan sumber air sentiasa terjamin dan terpelihara,” katanya di Facebook hari ini.

“LUAS menyeru kepada semua pihak agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya sungai.”

Berikut butiran dua insiden terbabit:

Sungai Langat
– 19 Julai
– kesan tompokan seakan minyak
– siasat beberapa lokasi, premis dan tapak kerja tanah
– tiada kesan tompokan atau bau abnormal
– berpotensi ganggu operasi LRA Semenyih 2, Bukit Tampoi dan Labohan Dagang

Sungai Kabul
– 22 Julai
– kesan pencemaran bau seakan cat
– air sungai bertukar putih dan kehijauan
– tindakan nyah bau guna 150kg sebuk karbon teraktif
– berpotensi ganggu operasi LRA Semenyih, Bukit Tampoi dan Labohan Dagang

 


Pengarang :