Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Peniaga nasi lemak didakwa tipu pelaburan emas

KUANTAN, 4 JULAI: Seorang peniaga nasi lemak dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 25 pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan emas melibatkan kerugian RM161,073, antara September hingga Januari lepas.

Wan Noraini Wan Abdullah, 43, yang beralamat di Jalan Gambang di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan memperdayakan dua wanita berkaitan pelaburan itu di Syarikat Empire Gold Ventures di Sungai Isap Maju 1 di sini antara 6 November 2021 hingga 10 Januari lalu.

Wan Noraini didakwa melakukan kesalahan dengan menawarkan pakej pulangan nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM900, RM11,500 dan RM12,100, namun dia dikatakan hanya menyerahkan nilai emas pada kadar lebih rendah iaitu sekitar RM4,658 ke RM4,865.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

“Suami juga bekerja sendiri dan kami mempunyai tujuh anak. Saya mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang rendah,” katanya.

Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM48,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Sementara itu, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan yang sama melibatkan tiga mangsa yang didakwa dilakukan antara 28 September 2021 hingga 10 Januari lalu di tempat sama.

Ainis membenarkan jaminan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Julai sebagai sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal.

– BERNAMA


Pengarang :