Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Rancangan Selangor pelan berharga, harap dilaksana dengan baik

SHAH ALAM, 30 JULAI: Pembangkang melihat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai perancangan yang baik bagi tempoh lima tahun ini selepas berdepan situasi di luar jangka seperti Covid-19 dan banjir.

Wakil rakyat Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi bagaimanapun berkata perkara yang lebih penting bagi memastikan perancangan itu berjaya ialah proses pelaksanaannya nanti.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana mengeluarkan senaskhah RS-1 di mana saya melihat naskhah ini berharga cuma soalnya sejauh mana kita dapat ambil tindakan selepas itu adalah yang penting.

“Saya mengamati kenapa RS-1 ini dikeluarkan adalah berkaitan apabila berlaku krisis yang bukan sahaja berlaku di dalam negara tetapi seluruh dunia yang akhirnya melumpuhkan sistem ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas usul RS-1 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Ahmad Yunus berkata beliau menyokong RS-1 dengan syarat segala yang dirancang itu diimplementasikan dengan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat serta negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia Hilman Idham berkata perancangan yang dirangka perlu dilaksana 100 peratus tanpa gagal sekiranya Kerajaan Negeri berhasrat mencapai 30 peratus penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negara.

“Berdasarkan kiraan saya untuk mencapai sumbangan 30 peratus ini Selangor harus mencatat pertumbuhan sekurang-kurangnya 9.5 peratus setiap tahun, dengan mengambil kira segala proses dan rancangan lain dilaksana 100 peratus tanpa gagal dalam tempoh lima tahun seperti yang dibentang,” katanya ketika berbahas usul berkenaan.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.


Pengarang :