Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rancangan Selangor Pertama terkandung 262 projek, sebahagian sudah bermula

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sebahagian daripada 262 projek yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sudah dimulakan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebahagian usaha lagi dalam proses perancangan dan berjalan selaras dengan tempoh masa pembangunan ditetapkan.

“Selain itu, program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang mengandungi  44 program berkonsep keadilan sosial menjadi peluang tawaran kedua kepada golongan rentan untuk bangkit selepas terjejas pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi.

“ISP mengukuhkan kitaran sosioekonomi, serta menambah baik kehidupan rakyat menerusi program kebajikan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berharap usaha perancangan berkenaan mampu melonjak ekonomi negeri serta menjamin kebajikan rakyat selain memastikan aliran pendapatan baharu serta mampu menangani perubahan inovasi teknologi semasa.

Semalam, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.

Amirudin berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :