Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) dan EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga, kiri) bersama wakil penaja memegang cek cura program Baucar Halal Selangor 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Baucar RM100 bantu 2,800 rakyat susah beli produk halal

SHAH ALAM, 28 JULAI: Seramai 2,800 penduduk kurang berkemampuan di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal menerima baucar halal bernilai RM100 bermula September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif negeri menerusi Baucar Halal Selangor membantu golongan itu mendapatkan keperluas asas di empat premis terpilih.

Beliau memaklumkan premis itu meliputi Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah), Mydin, Azzainmart Peneraju Kedai Halal dan 99 Speed Mart dengan hanya satu transaksi dibenarkan.

“Penerima itu nanti akan dikenal pasti oleh Pusat Khidmat DUN. Jika maklum balasnya baik, kita sedia menambah jumlah penerima di setiap DUN,” katanya selepas melancarkan program itu hari ini.

Simbolik penyerahan baucar disampaikan EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Dewan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Amirudin berkata agihan baucar itu juga bagi menyokong dan mempromosi produk halal tempatan selain menggalakkan lebih ramai usahawan mendaftarkan produk mereka bagi pensijilan halal.

“Bila ada sijil halal, ia menjamin sebahagian besar untuk melihat sumber mana produk ini dibuat, bahan yang digunakan dan kualiti kebersihan,” katanya lagi.


Pengarang :