Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat (kanan) bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong (kiri) menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada penerima, Wong Foong Min di Taman Bukit Rawang Jaya, Rawang pada 1 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Rawang santuni warga emas alami masalah penglihatan

SELAYANG, 2 JULAI: Nasib seorang warga emas yang menghidap katarak dan sering mengalami masalah lupa ingatan mendapat perhatian wakil rakyat Rawang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata pihaknya melawat Wong Foong Ming, 83, di kediamannya di Taman Bukit Rawang Jaya di sini setelah dimaklumkan keadaan warga emas itu.

Beliau memaklumkan wanita terbabit tinggal bersama anak saudara lelakinya berusia 48 tahun yang bekerja di sebuah kedai perkakasan sejak ketiadaan suaminya beberapa tahun lalu.

“Namun, mak cik Foong ini mengalami masalah penglihatan dan pelupa sehingga maklumat diterima beliau tidak mandi sejak dua bulan lalu. Beliau berasa dirinya sudah mandi dan sering melakukan senaman setiap pagi.

“Oleh demikian, saya bersama ahli parlimen Selayang menyumbang wang tunai RM300 dan keperluan makanan selain mandikan serta bersihkan rumah. Kami juga bercadang untuk membaiki peti sejuk di kediamannya yang rosak dan berbincang menghantarnya ke rumah jagaan warga emas,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Wei Kiat menjelaskan menyantuni warga emas dan golongan kurang berkemampuan adalah keutamaan baginya sebagai wakil rakyat.

“Setiap minggu, saya akan melawat sekurang-kurangnya empat individu yang memerlukan bantuan. Selain menerima sumbangan, mereka juga kita daftarkan terus sebagai penerima bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Selain itu, tahun ini juga kita memperhebatkan aktiviti komuniti supaya lebih ramai masyarakat terlibat dengan program keramaian sekali gus dapat berkongsi inisiatif kerajaan,” katanya.


Pengarang :