Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang Datuk Teng Chang Khim meninjau Program Selangor Saring dan Derma Darah di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

1,200 warga DUN Bandar Baru Klang sertai saringan kesihatan percuma

KLANG, 7 OGOS: Seramai 1,200 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang melakukan saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya Dato’ Teng Chang Khim berkata jumlah itu melebihi pendaftaran awal iaitu 1,000 orang yang mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Terdapat tiga DUN di bawah Parlimen Klang mengadakan program ini minggu ini dan saya difahamkan DUN Bandar Baru Klang mencatat jumlah paling ramai.

“Jumlah ini adalah positif di mana usaha Kerajaan Negeri menguar-uar mengenai program ini sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Petugas kesihatan membuat pemeriksaan mata ketika Program Selangor Saring dan Derma Darah Dun Bandar Baru Klang di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain saringan kesihatan percuma, Pusat Khidmat Rakyatnya juga turut mengadakan program derma darah di aras satu Klang Parade di sini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal termasuklah ujian darah dan air kencing, mata, barak servik, barah payu dara serta prostat.


Pengarang :