BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Bandar Utama tumpu program kesihatan, kejiranan selamat

Kecenderungan terhadap politik sejak remaja mendorong Jamaliah Jamaluddin memilih untuk menjadi wakil rakyat dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama pada 2018. Ternyata tuah berpihak kepada pemimpin muda ini yang menjadikan bapanya Jamaluddin Ibrahim, bekas penyampai radio
dan kolumnis akhbar, sebagai inspirasi. Hampir sepenggal berkhidmat, bekas pelajar Universiti Northwood, Amerika Syarikat menumpu usaha membela taraf hidup rakyat, kesihatan dan pemberdayaan belia. Wartawan Sheeda Fathil mengupas perkembangan dan perancangan ADN Bandar Utama dalam temu bual di pejabatnya baru-baru ini.

Sejauh mana kerjaya terdahulu membantu melancarkan tugasan sebagai wakil rakyat?

Penglibatan saya dalam arena politik bermula sejak 2015 apabila menjadi salah seorang sukarelawan DAP. Pada tahun berikutnya, saya dipilih sebagai ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Pada masa sama, saya turut berkhidmat sebagai pembantu khas untuk ADN Bandar utama ketika itu iaitu Yeo Bee Yin. Pada 2018, saya dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), mewakili DAP buat julung kalinya dan berjaya memenangi kerusi DUN Bandar Utama dengan memperoleh 90.4 peratus undi penduduk, majoriti 38,561 undi. Ini sekali gus menjadikan saya antara wakil rakyat termuda dalam DUN Selangor.

Berapa peratuskah penambahan jumlah pengundi baharu di kawasan YB? Apakah perbezaannya dari segi pecahan kaum dan peringkat umur?

Sebelum ini, pengundi di DUN Bandar Utama kira-kira 55,000 kemudian apabila Undi18 diperkenal, ia meningkat kepada lebih 70,000 termasuk kaum Melayu diikuti Cina, India dan lain-lain.

Apakah usaha bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40)?

Masalah penduduk di kawasan DUN Bandar Utama sebenarnya berbeza-beza dan bantuan kita beri berdasarkan keperluan masing-masing. Namun, apabila bicara mengenai golongan B40, banyak inisiatif kita buat antaranya memberi bakul makanan dan turut mewujudkan Rumah Makanan setiap Isnin hingga Jumaat di pusat khidmat masyarakat saya. Di sini kita benarkan pengambilan makanan secara terus, kita mahu memastikan penduduk ada bekalan makanan yang mencukupi. Selain itu, saya turut buka klinik bergerak dengan kerjasama Hospital Assunta. Setiap bulan klinik ini akan berada di Kampung Kayu Ara dan Kampung Cempaka bagi membantu golongan B40 yang mungkin memerlukan rawatan tetapi tidak
mampu untuk ke hospital mahupun klinik.

YB Jamaliah Jamaluddin menunjukan baucar SMUE. Foto Facebook Jamaliah Jamaludin

Bagi saya, penjagaan kesihatan itu sangat penting dan saling berkait rapat dengan perkara lain kerana apabila kita tidak sihat, semua pekerjaan atau rutin harian sudah pasti terjejas. Itu pentingnya kesihatan dan ia patut dipandang serius. Malah, saya turut memuji Kerajaan Negeri yang melaksanakan pelbagai program kesihatan sejak dulu.

Bagaimana pula dengan prasarana setempat? Apakah usaha yang telah YB lakukan?

Mengenai prasarana setempat, kita banyak bekerjasama dengan MBPJ sekiranya ada berlaku isu kerosakan jalan atau lampu jalan. Kita akan cuba sedaya upaya untuk membaik pulih dengan segera. Selain itu, isu kesesakan jalan raya di Bandar Utama memang seperti sudah menjadi perkara biasa, justeru kita kerap
menganjurkan kempen mengajak penduduk menggunakan bas percuma atau transit aliran ringan atau pelbagai pengangkutan awam lain. Kaedah ini bukan hanya menjimatkan kos tetapi dapat mengurangkan pembebasan karbon. Selain itu, kita turut mengeluarkan geran Taman Selamat Untuk Semua (TASK) sejak 2019, iaitu kita sumbangkan RM100,000 kepada persatuan penduduk. Ini bagi membantu mereka menambah baik fasiliti keselamatan seperti pemasangan kamera litar tertutup dan lampu solar. Disebabkan inisiatif ini, saya melihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini jarang berlaku kes jenayah di kawasan Bandar Utama.

Bagaimanakah Inisiatif Peduli Rakyat (kini dikenali Iltizam Selangor Penyayang) membantu B40?

Secara kasar, memang ramai penerima manfaat Kerajaan Negeri di DUN Bandar Utama. Misalnya Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sudah ada lebih 3,000 berdaftar. Skim Peduli Sihat pula lebih 1,000 dan lebih 500 memperoleh bantuan khas Anak Istimewa Selangor (AnIS). Penerimaan masyarakat sudah tentu mereka amat menghargai pemberian bantuan berkenaan, lebih-lebih lagi baucar Jom Shopping SMUE. Ini kerana nilai RM100 itu tanda penghargaan dan keraian kepada warga emas setiap kali ulang tahun kelahiran. Jumlah itu mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya memberi makna buat mereka. Malah saya melihat banyak program Kerajaan Negeri sentiasa cuba ditambah baik. Bukan hanya IPR tetapi turut merangkumi semua aspek seperti kesihatan, belia dan perniagaan.

Apabila wabak Covid-19 melanda, apakah jenis bantuan dan berapa jumlah penduduk yang terima manfaat?

Ketika pandemik Covid-19 melanda, memang tidak dinafikan hampir semua orang terjejas dan bukan sahaja golongan B40. Oleh itu, banyak inisiatif yang kita lakukan bagi memastikan penduduk di DUN Bandar Utama sentiasa terjaga. Antara yang kita lakukan adalah pemberian bakul makanan, nyahkuman rumah penduduk yang dijangkiti Covid-19 selain turut mengagihkan kit kesihatan mengandungi cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan sabun pencuci tangan. Untuk makluman, ketika pandemik DUN Bandar Utama paling banyak menganjurkan program suntikan vaksin dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan persekutuan.

Adakah bencana banjir pada Disember tahun lalu menjejaskan penduduk DUN Bandar Utama?

Secara jujurnya, di DUN Bandar Utama hampir semua penduduk tidak terjejas kerana kawasan kita tidak dilanda bah. Namun, ketika banjir saya dilantik sebagai penyelaras banjir DAP untuk menguruskan barangan yang disumbang orang ramai kepada mangsa banjir. Justeru, kebanyakan barangan itu saya akan menyumbang dan membantu kawasan DUN lain yang terjejas seperti di Hulu Langat, Sungai Tua, Taman Sri Muda, Balakong. Kita turut memberi sumbangan kepada negeri lain seperti Pahang bagi meringankan beban mangsa banjir.

Apakah rintangan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bagaimana mengatasinya?

Tidak dinafikan menggalas tugas sebagai seorang wakil rakyat memang sangat mencabar kerana kita perlu memahami segala-galanya. Sebagai contoh, kita perlu memahami masyarakat yang turut mempunyai latar belakang berbeza. Setiap hari ada banyak cabaran baharu tetapi saya sangat gembira kerana dapat belajar
sesuatu perkara baharu daripada masyarakat, pihak berkuasa tempatan, persatuan penduduk dan sebagainya. Sebagai wakil rakyat muda, saya mengakui perlu mengambil lebih banyak masa untuk meyakinkan pelbagai pihak bahawa kita juga boleh berkhidmat secara efisien seperti ADN senior lain. Bagi saya sebagai wakil rakyat atau pemimpin muda, kita perlu melakukan kerja yang lebih banyak, lebih rajin supaya kita dapat ‘tangkap’ atau supaya kita dapat sedaya upaya menjalankan tugas dengan baik hanya dalam masa singkat.

Bercakap mengenai wakil rakyat muda, bagaimana YB berhadapan dengan masyarakat yang lebih senior atau ADN lain yang lebih berpengalaman?

Saya percaya apabila kita hormat orang, orang akan hormat kita. Mungkin segelintir pihak akan ada wujudnya perasaan skeptikal dalam keadaan tertentu tetapi bagi saya keputusan yang terakhir itu akan menunjukkan segalanya. Sebagai contoh kita bertemu, berbincang dan melontarkan cadangan termasuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik ia dapat bina keyakinan penduduk kepada wakil rakyat tersebut. Bagi saya ia tidak menjadi penghalang sebaliknya menjadi kemampuan sekiranya kita berjaya meyakinkan orang bahawa kita mampu buat atau menyelesaikan sesuatu perkara itu sebaiknya.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan kawasan DUN?

DUN Bandar Utama seperti kita tahu ia memang sudah membangun kerana lokasinya yang terletak di kawasan bandar dan sedang mengalami pembangunan yang pesat. Justeru, perancangan jangka panjang saya untuk kawasan ini adalah mahu memberi kualiti kehidupan yang lebih baik iaitu kemampanan, saya bercadang mahu memastikan isu keselamatan dan fasiliti yang bagus untuk penduduk beriadah selain menanamkan semangat kejiranan.

Berdasarkan sambutan penduduk terhadap program negeri, adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat seterusnya terpilih sekali lagi dalam PRU15?

Saya yakin warga Selangor bijak pandai untuk memilih siapa yang layak menjadi wakil rakyat mereka selepas pelbagai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri. Saya tidak mahu menjadi terlalu yakin untuk rakyat memilih saya lagi sebagai ADN tetapi saya tahu rakyat pasti memilih yang terbaik dan kita menghormati apa jua pilihan mereka. Menjawab kepada persoalan adakah saya akan bertanding pada PRU akan datang, ia terletak kepada perbincangan parti dan saya berserah sahaja dengan keputusan mereka kerana bagi saya, saya sudah menjalankan tugas sehabis baik.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin beramah mesra bersama orang awam yang hadir ke program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama di Dewan Komuniti BU3 pada 6 November 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu?

Sebelum Undi18 diperkenal, saya sebagai wakil rakyat muda memang sudah banyak melakukan pelbagai inisiatif dalam menarik minat anak muda terhadap politik. Saya banyak menganjurkan program pemantapan bersama golongan ini sebagai contoh sebelum ini kita kerap membawa mereka melawat ke Dewan Negeri
Selangor dan Parlimen untuk memberi peluang kepada anak muda ini bertanya soalan kepada ADN, ahli parlimen mahupun menteri. Cara ini sedikit sebanyak membantu mereka memahami dengan lebih mendalam tugas seorang wakil rakyat selain boleh menimbulkan minat untuk mereka menjadi ADN pada masa akan datang. Selain itu, kita turut menganjurkan bengkel kewangan, bengkel kerjaya dan beberapa bengkel lain yang bersesuaian dengan jiwa mereka. Platform media sosial seperti Instagram, Tiktok, Facebook dan Twitter turut menjadi medium utama kita dalam berkempen untuk menarik pengundi muda.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu? Adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor ketika imej Umno kekal negatif?

Pada pandangan saya, kita memang tidak boleh hentikan kewujudan parti baharu kerana masing-masing ada sentimen yang tersendiri. Sebagai contoh, parti Muda ramai orang berbicara mengenai parti ini kerana dianggap sebagai parti muda walaupun sebenarnya tiada syarat had usia atau ahli untuk masuk ke parti itu tetapi mereka membawa sentimen ‘muda’. Sebagai parti Pakatan Harapan (HARAPAN), bagi saya kita perlu melihat perkara ini daripada sudut positif. Jika wujud sentimen baharu atau pesaing baharu, kita boleh bergerak ke arah yang lebih baik. Kita perlu bersaing antara satu sama lain dan kita juga perlu membuktikan bahawa parti kita ini sebenarnya lebih layak dipilih oleh rakyat Selangor dan Malaysia pada masa hadapan.

Namun, tidak dinafikan HARAPAN ada kekuatannya yang tersendiri. Sebagai contoh, selama kita berkhidmat di Selangor banyak manfaat telah kita berikan kepada warga negeri ini. Kita juga mempunyai interaksi yang begitu kerap dan sudah ada jentera yang kuat. Tugas kita yang penting sekarang adalah menyebarkan semua inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri. Sekiranya kita berjaya menyebarluaskan apa yang dilaksanakan, kita tidak perlu gentar. Kita bukan bercakap tanpa melakukan sesuatu tetapi kita buat apa yang kita cakap, malahan Selangor di bawah HARAPAN boleh dianggap kukuh dan meyakinkan.


Pengarang :