Perunding Perniagaan Global Whoscall Jym Chee. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aplikasi kesan panggilan palsu diperkenal, jamin lindungi data pengguna

SHAH ALAM, 25 OGOS: Syarikat teknologi maklumat Gogolook memberi jaminan data pengguna aplikasi Whoscall bagi mengesan panggilan palsu tidak akan terdedah kepada mana-mana pihak.

Ketua pengarah eksekutifnya di Malaysia, Jym Chee berkata sejak diperkenalkan pada 2018, maklumat diri pengguna selamat dan dilindungi malah turut digunakan di beberapa negara antaranya Taiwan, Hong Kong dan Taiwan.

“Ini keistimewaan Whoscall berbanding aplikasi yang turut menawarkan khidmat sama. Maklumat peribadi pengguna tidak terdedah sekali gus mengelakkan mereka terus menjadi mangsa.

“Syarikat turut mendapat pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) bagi keselamatan data pada tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Mughni akan melancarkan aplikasi berkenaan hari ini di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena forum kesedaran penipuan dalam talian.

Jym berkata pihaknya memberi pengiktirafan kepada Kerajaan Selangor untuk melancarkan aplikasi sebagai langkah meningkatkan kesedaran rakyat negeri ini berhubung jenayah berkenaan.

“Ramai penduduk di Lembah Klang menjadi mangsa jadi kita lihat perlukan kerjasama ini supaya penipuan dalam talian dapat dibendung.

“Setakat ini lebih 800,000 individu aktif menggunakan aplikasi ini. Sempena pelancaran esok (hari ini) kita akan beri perkhidmatan percuma tiga bulan kepada semua kakitangan Kerajaan Selangor dan anak syarikat,” katanya.


Pengarang :