Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Jadikan perbualan soal kesihatan budaya dalam kehidupan seharian

SHAH ALAM, 8 OGOS: Perbualan berkaitan kesihatan harus menjadi amalan dalam kehidupan seharian supaya tahap kesedaran orang ramai meningkat, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata masih ramai rakyat takut melakukan pemeriksaan kesihatan yang kini giat dijalankan Kerajaan Negeri.

“Rakyat kena faham bahawa kesihatan itu satu kekayaan, malah ia ditekankan dalam Islam,” katanya selepas meninjau program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama di sini, semalam.

“Jadi mereka harus bercakap soal kesihatan setiap hari misalnya penyakit tiga serangkai jantung, kencing manis dan darah tinggi. Jika berjaya (budayakan perbualan kesihatan), kesedaran orang ramai pasti meningkat.”

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata program saringan kesihatan percuma adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kesihatan.

“Ini (Selangor Saring) tahun pertama kita buat, selepas ini kita akan buat analisis bagi melihat apa lagi penambahbaikan patut dibuat bagi menggalakkan rakyat terlibat dalam program ini.

“Kalau boleh kita tidak mahu masyarakat menderita ketika tua kerana mengabaikan kesihatan di waktu muda,” katanya lagi.

Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, seramai 1,000 warga DUN berkenaan hadir bagi menjalani saringan dengan sebahagiannya beratur sejak jam 8 pagi meskipun program berkenaan bermula jam 9 pagi.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :