Petugas kesihatan mengambil sampel darah ketika program Selangor Saring dan Derma Darah di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Jangan tunggu lagi, segera saring kesihatan elak lebih parah

SHAH ALAM, 9 OGOS: Saringan kesihatan percuma yang ditawarkan Kerajaan Negeri bukan hanya membantu individu mengesan awal penyakit, malah dapat mengelak risiko lebih parah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pendaftaran awal bagi inisiatif Selangor Saring boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Anda ada sejarah kesihatan keluarga? Berat badan berlebihan? Bimbang tentang kesihatan diri?
Saya ingin mengajak anda semua untuk daftar secara percuma program saringan kesihatan.

“Untuk pengetahuan semua, pengesanan awal penyakit dapat membantu elak risiko yang lebih teruk tau.
Jadi, anda jangan tunggu lagi ya,” katanya di Facebook.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program tersebut yang bakal memanfaatkan 39,000 individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Inisiatif sehingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Untuk maklumat lanjut, layari selangorsaring.selangkah.my atau hubungi talian Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :