Penggusti Amerika Syarikat, Ayez Shaukat Fonseka Farid
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Dari lagak ngeri ke gelanggang gusti, penggusti bertanjak popular di Amerika

Imej Ayez Shaukat Fonseka Farid memakai tanjak, berpakaian songket diiringi treler gimik memaparkan persembahan silat menarik perhatian peminat gusti di Amerika Syarikat.

Kanak-kanak terutamanya amat teruja dengan watak dibawa anak jati Kuala Lumpur ketika rakaman program ‘Reality of Wrestling’ di negara Uncle Sam, Jun lalu. Malah ada menggayakan sembah hormat ala Melayu.

Pemegang diploma makmal perubatan berusia 34 tahun itu berkongsi dengan wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurugambar Remy Arifin mengenai kisah jatuh bangunnya dalam gusti sehingga ke tahap bekerjasama dengan legenda sukan itu Booker T dalam temu bual pada 8 Julai.

“Jika kamu mahu, kamu harus lakukannya sendiri. Kalau tunggu sampai bila-bila, maka tidak akan terjadi apa-apa.”

Itu nasihat Booker T, nama glamor Robert Booker Tio Huffman Jr, bagi menjawab soalan Shaukat yang bertanya bagaimana untuk mengembangkan sukan gusti di Malaysia.

Sebelum pertemuan makan tengah hari bersama penggusti legenda itu pada 2013 itu, Shaukat masih mencari hala tuju bagaimana kegiatan diminatinya sejak berusia empat tahun itu boleh dikembangkan.

“Booker benar-benar membuka mata saya, kalau belum bermula bagaimana hendak dikembangkan sukan gusti,” katanya yang bercita-cita mahu menjadikan gusti sebahagian masa lapang kehidupan masyarakat seperti bola sepak atau seni bela diri silat dan karate.

Ketika di bangku sekolah, beliau hanya berpeluang menyertai kelas karate. Cukup untuk dia melepaskan gian memandangkan tiada platform disediakan bagi sukan gusti pada waktu itu.

Namun minat mengatasi segala-galanya. Dari zaman sekolah sehinggalah dewasa, Shaukat mengambil inisiatif mempelajari sendiri teknik-teknik bergusti dengan membaca, menonton siaran gusti dan berlatih bersama rakan yang mempunyai minat sama.

Beliau juga memahirkan dirinya dengan sukan berkenaan menggunakan silibus latihan bergusti yang diperoleh dari Amerika Syarikat.

“Selepas itu saya terus berusaha wujudkan pusat latihan gusti pertama di negara, pada tahun sama juga dibuka…namanya Persekutuan Gusti Malaysia terletak di Bandar Tun Hussein Onn (Hulu Langat),” katanya.

Ayez Shaukat Fonseka Farid bersama peninju profesional Amerika Syarikat, Booker T.

Buka pusat gusti

Beliau membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membuka pusat itu. Shaukat membuat pinjaman dengan bank dan menggunakan simpanannya RM30,000 yang dikumpul untuk pergi berbulan madu bersama isterinya, Najiyah A Rahim.

Berjaya mencapai impiannya itu, tugas Shaukat untuk memastikan pusat itu terus beroperasi bukan mudah. Hanya ada empat pelatih termasuk dirinya, jadi sudah tentu bayaran yuran tidak mampu menampung sepenuhnya kos seperti sewa serta bil utiliti.

Bagi membayar operasinya, Shaukat membuat kerja sampingan seperti menulis skrip dan menyelaras aksi lagak ngeri. Beliau terbabit dalam filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof dan Apokalips X yang dihasilkan oleh Allahyarham Mamat Khalid.

“Dalam filem Apokalips X saya terjun dari tingkat 13,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Shaukat dan pasukannya turut mengadakan persembahan berbayar. Mulanya hanya 25 penonton dan jumlahnya semakin bertambah apabila video persembahan itu tular di media sosial.

Kemuncaknya pada 2019 apabila persembahan di Puchong ditonton oleh ribuan orang. Program itu turut menampilkan peserta luar negara antaranya dari Amerika Syarikat, Australia, Filipina dan Jepun.

Shaukat tersenyum puas apabila melihat usahanya mula menampakkan hasil.

Ayez Shaukat Fonseka Farid ketika ditemu bual SelangorKini pada 8 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bergusti di Texas

Pada 2020, Shaukat mengubah nama pusat latihan kepada Apac Wrestling dan menyewa premis lebih selesa di Kota Damansara, Petaling Jaya. Jumlah pelatih juga bertambah kepada 26 orang termasuk penggusti berhijab, Nor ‘Phoenix’ Diana yang kini menempa nama di persada antarabangsa.

Ketika itu, beliau turut merancang meluaskan operasi ke peringkat Asia. Namun perancangannya sedikit terganggu disebabkan penularan Covid-19.

Banyak aktiviti terpaksa dibatalkan. Apabila ada kelonggaran barulah mereka dapat merakamkan program gusti untuk tontonan di YouTube bagi menjana pendapatan.

Video itu turut ditonton Booker T yang masih mengingati pertemuan dengan anak muda itu meski selepas sembilan tahun berlalu. Terpikat dengan aksinya, juara dunia gusti enam kali itu menawarkan Shaukat kontrak untuk menyertai program ‘Reality of Wrestling’.

Enggan melepaskan peluang beraksi di peringkat antarabangsa, Shaukat bersetuju dan terbang ke Houston, Texas pada Jun lalu.

“Pada sesi rakaman enam episod itu, saya bawa imej Melayu dengan memakai tanjak dan songket.Penonton tempatan terutama kanak-kanak teruja melihat perwatakan saya itu dan anggap seperti adiwira.

“Selepas persembahan ramai beratur hendak jumpa. Gembira juga dapat perkenalkan budaya Melayu di Hollywood… saya difahamkan tontonan program itu boleh mencecah di antara 30 juta hingga 60 juta tontonan,” katanya yang akan ke Amerika Syarikat pada November untuk merakamkan episod seterusnya.

Namun atas kekangan masa, beliau tidak dapat bertemu idolanya, The Undertaker. Pengusti terkenal itu yang membuatkan Shaukat mula ‘jatuh cinta’ dengan sukan gusti selepas menonton pita video perlawanan beliau dengan Kamala ketika berusia empat tahun.

Shaukat ketika menewaskan Jonathan Vega pada perlawanan pertamanya di Amerika Syarikat

Otak bergegar

Shaukat mengakui mungkin ada pihak masih memperlekehkan sukan gusti dan menganggapnya lebih kepada hiburan. Namun, cabaran perlu dilalui mereka untuk sampai ke tahap profesional bukan mudah. Mungkin setanding atlet dalam kejohanan utama dunia.

Jika tersilap sedikit boleh menyebabkan kecederaan teruk. Beliau sendiri pernah mengalami gegaran otak dan bertarung dalam kesakitan selepas lututnya terkehel.

“Untuk menjadi profesional kami perlu memastikan tahap kecergasan kami 20 kali lebih tinggi berbanding orang biasa, jadi sudah tentu perlu latihan berat serta pemakanan betul,” katanya.

Menyentuh mengenai keluarga, Shaukat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada isteri yang percaya dengan minat-
nya itu.

Ibu bapanya, Allahyarham Mohd Farid Abdullah dan Sofiah Shaukat Md Hashim turut menyokong namun pada masa sama mahu anaknya menimba ilmu untuk bekalan masa depan.

Sebab itu, beliau melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi swasta. Shaukat berjaya memperoleh segulung diploma makmal perubatan dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.84.

“Saya ditawarkan melanjutkan pengajian tetapi saya tolak kerana mahu fokus kepada bidang gusti, ibu bapa letak syarat kalau hendak aktif main gusti kena habiskan pengajian dahulu demi menjamin masa depan,” ujarnya.


Pengarang :