AGENDANASIONAL

EXCO ucap takziah, puji kepimpinan telus Abdul Khalid

SHAH ALAM, 1 OGOS: Beberapa EXCO Kerajaan Negeri mengucapkan takziah atas pemergian mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia malam tadi.

EXCO kerajaan tempatan berkata Allahyarham ketika pentadbirannya banyak memperkenal dasar dan garis panduan supaya negeri mempunyai tadbir urus yang berintegriti dan cekap.

Ng Sze Han turut mengimbas kenangannya berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Perbandaran Subang Jaya yang bersetuju dengan dasar itu hingga membina kepercayaan rakyat dan kakitangan awam.

“Dan keberkesanan dasar Tan Sri berterusan sehingga ke hari ini. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya di Facebook.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut memuji sifat Allahyarham yang banyak menyumbang bakti dalam menjaga kebajikan rakyat sepanjang tempoh berkhidmat.

“Semoga Allah SWT mengangkat segala jasa dan pengorbanan beliau menjadi asbab ke syurga. Salam takziah kepada seluruh keluarga,” katanya.

Sementara itu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berdukacita atas pemergian Allahyarham dan mendoakan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang soleh dan beriman.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim pula berkata Allahyarham yang merupakan menteri besar pertama selepas pertukaran kerajaan sejak merdeka banyak membawa pembaharuan kepada negeri.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menteri besar pertama selepas pertukaran pertama Kerajaan Negeri sejak merdeka yang telah membawa pembaharuan kagum kepada pentadbiran termasuk perundangan yang masih dihargai dan diingati rakyat,” katanya.

Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral malam tadi selepas menerima rawatan akibat jangkitan pada injap jantung sejak April.

Allahyarham, 76, meninggalkan isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.


Pengarang :