Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (HARAPAN) Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita di pusat media HARAPAN di Metropolitan Square, Petaling Jaya pada 18 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN sambung siasatan LCS, laksana kertas putih pertahanan jika mandat dikembali

PETALING JAYA, 18 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan meneruskan siasatan penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) jika rakyat memberi semula mandat dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya juga komited meneruskan pelaksanaan kertas putih pertahanan (KPP) yang diperkenal kerajaan HARAPAN pada 2019 demi memperkukuh keselamatan negara.

“HARAPAN berjanji akan menyambung kembali siasatan yang dihentikan kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional selepas kami dijatuhkan jika rakyat memberikan mandat semula kepada kami.

“Kita akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan menerusi KPP. Kita akan memastikan tentera mendapat layanan terbaik dan dibekalkan kelengkapan terbaik untuk menjalankan tugas kepada negara,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media di pusat media HARAPAN di Metropolitan Square di sini, hari ini. Hadir sama Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Fahmi turut meluahkan kekesalan dengan sikap kepimpinan Umno yang bersikap sambil lewa melayan tentera apabila memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya iaitu anggota tentera.

“Yang dipentingkan adalah mendapat projek untuk kroni mereka bukannya memenuhi keperluan tentera kita,” katanya.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal perlu diserahkan setakat Ogos 2022.

Susulan itu, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd  (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga bekas panglima tentera laut dihadapkan ke mahkamah pada 16 Ogos atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM21.08 juta.

KPP dibentangkan pada 2019 oleh Mohamad Sabu yang ketika itu menjawat menteri pertahanan. KPP menggariskan matlamat strategik negara serta reformasi yang diperlukan dalam dekad akan datang supaya relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan.

 


Pengarang :