AGENDANASIONAL

Laporan penuh kematian Adib, Batu Puteh diketahui esok – menteri

SHAH ALAM, 29 OGOS: Laporan penuh pasukan petugas khas mengenai siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diketahui esok.

Selain kes kematian Muhammad Adib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan juga dijangka menerima laporan isu perundangan Pulau Batu Puteh pada hari sama, lapor Berita Harian.

“Esok saya dua mesyuarat. Pasukan petugas khas akan serah laporan itu (laporan Allahyarham Muhammad Adib, Pulau Batu Puteh) dalam mesyuarat berkenaan.

“Semalam, saya sudah bermesyuarat berhubung buku Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) dan laporan mengenainya sudah diterima,” katanya.

Wan Junaidi berkata semua laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.


Pengarang :