Sukarelawan Team Selangor Kamarul Hafiz sedang menyusun barang keperluan asas yang akan diagihkan kepada penduduk ketika program Bingkas anjuran DUN Bukit Lanjan di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 30,000 keluarga kurang mampu nikmati bantuan RM3,600 setahun

SHAH ALAM, 29 OGOS: Hampir 30,000 keluarga kurang mampu menerima RM300 sebulan menerusi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang dilancarkan 1 Julai lepas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) memenuhi sasaran untuk membantu golongan memerlukan.

“Kerajaan Negeri menyasarkan hampir 30,000 keluarga terima bantuan ini. Daripada jumlah itu 21,000 adalah dalam kalangan penerima sedia ada.

“Ada beberapa permohonan berdepan masalah teknikal antaranya perubahan nombor telefon namun kita sedang atasinya untuk memastikan mereka yang layak terima manfaat ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup Bulan Falak Selangor 2022 anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor di Hotel De Palma di sini hari ini.

Pada 1 Ogos, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

Skim yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) membabitkan peruntukan RM108 juta dengan penerima bakal mendapat bantuan RM3,600 setahun.


Pengarang :