Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak keluar dari kompleks mahkamah untuk bertemu penyokongnya selepas mahkamah berehat seketika bagi prosiding pendengaran rayuan terakhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mahkamah tolak permohonan Najib minta ketua hakim negara tarik diri

SHAH ALAM, 23 OGOS: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya ketua hakim negara yang mengetuai panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati permohonan itu gagal menunjukkan terdapat bahaya nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah, lapor Berita Harian.

“Saya tidak nampak sebarang bahaya berat sebelah yang mencukupi untuk saya menarik diri,” katanya yang memaklumkan mahkamah akan memutuskan rayuan akhir sebentar lagi.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas perdana menteri itu bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

Ia juga termasuk tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib.

 


Pengarang :