EXCO Perumahan Rodziah Ismail (empat, kiri) bergambar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Seri Kenari, Saujana Perdana di Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 23 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sedia kediaman mampu milik, negeri lulus bina 215,930 unit Rumah Selangorku

SUNGAI BULOH, 23 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 215,930 unit kediaman membabitkan 372 projek Rumah Selangorku sejak program tersebut diperkenalkan pada 2014.

EXCO perumahan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 29,822 unit (86 projek) siap dibina dan diserahkan kepada pembeli, 18,039 unit (52 projek) dalam pembinaan dan 168,069 unit (234 projek) fasa perancangan.

“Kerajaan Negeri berusaha secara berterusan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat khususnya menerusi program Rumah Selangorku.

“Alhamdulillah, inisiatif-inisiatif ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Selangor yang mahu memiliki kediaman sendiri,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berucap sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Seri Kenari, Saujana Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata kuota rumah mampu milik yang ditawarkan selaras dengan data permintaan semasa menerusi sistem pendaftaran di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Sehingga 1 Ogos lalu, sebanyak 88,158 permohonan dalam senarai menunggu sudah ditawarkan rumah. Kita sentiasa merujuk data LPHS dalam perancangan sedia rumah kepada rakyat,” katanya.

Pada 27 Julai, Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menambah pembinaan rumah mampu milik bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, program Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman membuka peluang untuk rakyat menghuni kediaman lebih selesa dan lengkap kemudahan dengan keluasan 1,000 kaki.

Beliau menjelaskan matlamat tersebut terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah dan menawarkan kediaman yang menjamin kesejahteraan keluarga lebih baik.


Pengarang :