EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menanam anak pokok jenis Meranti Temak Nipis (Shorea Roxburghii) di Sungai Kedondong, Mukim Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Ogos 2022. Foto ihsan Puspanita Hulu Selangor
AGENSISELANGOR

Sokong agenda lestari alam sekitar, Puspanita Hulu Selangor tanam 30 anak pokok

SHAH ALAM, 16 OGOS : Sebanyak 30 anak pokok jenis Meranti Temak Nipis (Shorea Roxburghii) ditanam di Sungai Kedondong, Mukim Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.

Program hasil inisiatif Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Hulu Selangor bagi menyokong agenda negeri ke arah melestarikan alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Siann yang hadir merasmikan program tersebut mengucapkan tahniah kepada Puspanita kerana mengambil peluang menyertai dan dipilih menerima geran RM5,000 untuk menjayakan usaha itu.

“Aktiviti menanam pokok dan program gotong-royong hari ini merupakan satu keperluan yang wajar dan dilihat dapat membantu mengekalkan kualiti air Sungai Kedondong.

“Saya berharap ia tidak terhenti setakat ini sebaliknya menjadi ikutan kepada persatuan lain untuk turut sama menyokong inisiatif negeri berhubung kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan.

Loy Sian berkata program di bawah Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor itu kini sudah menerima sejumlah 320 permohonan daripada organisasi dan persatuan.

“Sehingga 14 Februari lalu, sebanyak 128 organisasi dan persatuan dipilih menyertai program geran kecil ini manakala ada juga sebahagiannya ditolak kerana tidak menumpukan kepada alam sekitar dan teknologi hijau,” katanya.

Terdahulu, Loy Sian turut menyertai program pembersihan sungai dan penanaman pokok si Sungai Kedondong, Mukim Batang Kali, Hulu Selangor.


Pengarang :