DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (empat, kiri) bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (lima, kiri) berkenan bergambar bersama selepas merasmikan Majlis pelancaran DoubleTree by Hilton Shah Alam turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (lima, kanan) di Finance Avenue i- City, Shah Alam pada 11 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan berkenan rasmi pembukaan DoubleTree by Hilton Shah Alam

SHAH ALAM, 11 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan pembukaan DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City di sini hari ini.

Ketibaan Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin kira-kira jam 11 pagi disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Pengarah Kanan Operasi Hilton Asia Tenggara Jamie Mead.

Sebelum itu, baginda dihiburkan dengan persembahan kebudayaan selain tiga montaj video yang memaparkan pembangunan i-City, DoubleTree by Hilton Shah Alam dan video korporat Hilton.

Jamie berkata hotel setinggi 21 tingkat itu memiliki 300 bilik mewah yang dilengkapi kunci digital yang memberi peluang kepada tetamu menikmati pemandangan panorama i-City.

Menurutnya, hotel berkenaan turut mempunyai 12 bilik mesyuarat serba boleh, kolam infiniti, kolam renang, bar, spa, gimnasium, empat kedai makanan dan minuman seperti Makan Kitchen dan Tosca serta dewan besar (grand ballroom) tanpa tiang.

“Saya bangga untuk menyatakan bahawa kami telah berkembang pesat dengan 13 hartanah beroperasi dan DoubleTree Shah Alam ini adalah tambahan terbaharu.

“Jadi, kami mengalu-alukan kedatangan tetamu ke sini dan berjanji memberi perkhidmatan terbaik demi kepuasan mereka,” katanya dalam sembah ucapan.

DoubleTree by Hilton kini memiliki enam hotel dalam negara di Kuala Lumpur, Putrajaya Lakeside, Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan Shah Alam.


Pengarang :